BENTONG – Bentong menjadi lokasi pertama di Pahang yang dipilih untuk pembinaan projek perintis Pangsapuri Pahangku, sekali gus membuka peluang anak muda memiliki rumah idaman di kawasan strategik berhampiran jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek berkeluasan 6.5 ekar itu akan didirikan bersebelahan stesen ECRL Bentong, melibatkan empat blok pangsapuri dengan kira-kira 1,000 unit.
“Bentong paling strategik, dekat Kuala Lumpur, Kuantan dan bandar utama lain. Anak-anak muda boleh ulang-alik bekerja atau belajar sambil memiliki rumah sendiri dengan harga mampu milik,” katanya selepas menyempurnakan majlis pecah tanah Pangsapuri Pahangku di tapak projek dekat Taman Awam Ujana, di sini hari ini.
Menurutnya, Pahang menjadi negeri pertama membangunkan perumahan konsep Transit-Oriented Development (TOD) berdekatan stesen ECRL, yang bakal diperluas ke enam lokasi lain termasuk Temerloh, Maran, Paya Besar, Kota SAS, Kuantan Port City (KPC) dan Cherating.
Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, jajaran ECRL di Pahang adalah yang terpanjang iaitu 224 kilometer, menjadikan kawasan sekitar stesen ECRL berpotensi besar sebagai pusat pertumbuhan baharu.
Beliau memberitahu berdasarkan Jabatan Statistik Negara, 63 peratus penduduk Bentong adalah golongan muda sekali gus menjadikan projek itu tepat dengan keperluan demografi setempat.
“Projek ini memberi harapan baharu kepada anak muda Pahang untuk memiliki kediaman selesa dan kondusif di lokasi strategik dan harga jualan masih dinilai tetapi dijamin pada kadar berpatutan agar tidak membebankan pembeli,” katanya. – KOSMO! ONLINE