JOHOR BAHRU – Kementerian Kewangan telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk memperkasa Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) terutamanya dalam sektor kesihatan.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, peruntukan yang disalurkan melalui syarikat telekomunikasi ini adalah komitmen berterusan kerajaan dalam melaksanakan inisiatif digitalisasi yang menjadi teras dalam RMK-13.
Katanya, kerjasama strategik dengan Kementerian Kesihatan (KKM) ini bagi mempertingkat penggunaan teknologi baharu yang boleh membantu dalam penyampaian perkhidmatan kerajaan terutama dalam bidang kesihatan kepada semua rakyat, khususnya di luar bandar dan pedalaman.
Katanya, penggunaan teknologi ini dijangka dapat memperkasa daya saing PMKS serta merangsang pertumbuhan ekonomi digital negara seiring dengan peningkatan liputan di kawasan berpenduduk sebanyak 98.8 peratus untuk liputan 4G dan 82.4 peratus untuk 5G.
“Oleh itu, Geran Digital PMKS MADANI (GDPM) yang diperkenalkan sejak 2023 membantu pihak PMKS mempertingkatkan penggunaan teknologi baharu masa hadapan bagi membolehkan mereka bergerak ke hadapan seiring dengan kemajuan teknologi. Tahun ini, kami menumpukan kepada sektor kesihatan dengan sasaran sekurang-kurangnya 50 peratus klinik dan farmasi swasta menyertai program ini,” katanya selepas Majlis Pelancaran GDPM Fest 2025 Peringkat Negeri Johor di Hotel Renaissance di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE