MUHAMMAD AKIEF NAUFAL dan Muhammad Amar Nazran sedih ketika imam membacakan talkin di kubur bapa mereka, Mohd. Hafizul Izham di Tanah Perkuburan Islam Putera Jaya, Kampung Pak Kancil, Setiu semalam

‘Tak sangka papa meninggal dunia’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIU – Anak sulung Allahyarham Koperal Mohd. Hafizul Izham Mazlan memberitahu, dia tidak menyangka bapanya yang meninggal dunia ketika dijemput polis untuk ke hospital ketika dia bersama ibu dan adiknya berada di sebuah pusat beli-belah di Alor Setar, Kedah.

Muhammad Akief Naufal, 11, berkata, pada mulanya dia menyangka kawan bapanya yang meninggal dunia akibat dirempuh penjenayah sebelum segalanya terjawab sebaik dia tiba di Hospital Sultanah Bahiyah.

Katanya, ketika itu polis memberitahu bapanya meminta mengambil dia bersama ibu, Nur Azhanis Mohd Yusoff, 36, dan adiknya, Muhammad Amar Nazran, 9.

“Sebaik tiba, baru saya tahu papa yang meninggal dunia apabila melihat mama menangis di hospital. Papa sempat ambil saya balik sekolah pada pukul 1.15 tengah hari

“Saya dan adik tidak sangka akan bergelar yatim tiga jam selepas itu. Papa sempat berpesan supaya jangan tinggal solat,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Putera Jaya, di Pak Kancil di sini semalam.

Kelmarin Kosmo! Online melaporkan Mohd. Hafizul Izham maut akibat dirempuh kende­raan utiliti sukan (SUV) dinaiki empat penjenayah yang cuba melarikan diri pada pukul 3.30 petang di Taman Golf, Alor Setar.

Kejadian berlaku apabila ­mangsa bersama empat lagi anggota pergi ke sebuah kediaman di perumahan tersebut yang disyaki berlaku kejadian pecah rumah.

Sementara itu, di Alor Setar, Nur Azhanis berkata, walaupun trauma, dia akan cuba membesarkan anak-anak hasil perkahwinan mereka 12 tahun lalu.

“Saya tak sangka keterujaan arwah selepas saya dapat kembali bekerja sebagai kerani sebulan lalu menjadi petanda dia akan pergi buat selamanya.

“Dia yang beria carikan kerja itu. Dia juga minta adik saya, Nur Najwa, 32, tinggal bersama kami sejak seminggu lepas secara tiba-tiba untuk menemankan saya dan anak-anak,” katanya.

Menurut Nur Azhanis, sebelum kejadian arwah suaminya sempat menjemput dua anak dari sekolah untuk dihantar ke kuarters.

“Arwah juga beri wang kepada anak-anak untuk ke pusat beli belah. Sebelum ini dia tidak pernah benarkan mereka pergi sendiri,” katanya.

Tambahnya, arwah mengadu kepadanya tidak sihat pada malam kelmarin mungkin tidak cukup rehat selepas baru balik dari kampung di Setiu.

“Luluh hati saya bila dapat tahu kejadian itu pada pukul 5 petang. Saya reda dan berdoa agar kematiannya mulia kerana pergi ketika bekerja,” katanya.

Ujar Nur Azhanis, arwah dikenali sebagai seorang yang penyayang dan suka membantu sesiapa sahaja daripada keluarga mahupun rakan-rakan.

Jenazah Mohd. Hafizul Izham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Putera Jaya, Kampung Pak Kancil pada pukul 10.30 pagi semalam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN