PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan berangkat melawat Pusat Pembangunan Teknologi Automotif Rusia (NAMI) di Moscow sebagai sebahagian daripada rangka Lawatan Negara Seri Paduka Baginda ke Persekutuan Russia.
Menerusi kenyataan rasmi di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda di pusat penyelidikan dan pembangunan automotif terkemuka itu telah disambut oleh Ketua Pengarah NAMI, Fedor Nazarov.
“NAMI merupakan pusat saintifik dan kejuruteraan terkemuka di Persekutuan Russia dengan pengalaman lebih daripada seratus tahun.
“Berperanan sebagai sebuah hub yang menghimpunkan pakar-pakar berkelayakan tinggi yang merekabentuk, membina dan menguji pelbagai jenis kenderaan daripada kereta penumpang mewah hinggalah kepada jentera pertanian serta komponen automotif inovatif,” kata kenyataan itu.
Mengiringi bersama Seri Paduka Baginda ialah Menteri Pertahanan yang juga Menteri Pengiring, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Amran Mohd Zin.
“Seri Paduka Baginda kemudian berkenan menerima persembahan taklimat khas mengenai pencapaian inovasi terkini teknologi automotif yang dibangunkan NAMI.
“Seusai selesai sesi persembahan taklimat berkenaan, Sultan Ibrahim kemudian berkenan berangkat melawat ruang pameran yang menempatkan beberapa model Aurus, simbol kejuruteraan buatan Persekutuan Russia,” jelas kenyataan itu.
Sultan Ibrahim turut berkenan meluangkan masa memandu uji model Aurus Senat yang diiringi sendiri oleh Fedor Nazarov, sekali gus menzahirkan minat mendalam Seri Paduka Baginda terhadap teknologi dan kejuruteraan automotif.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Timbalan Menteri Industri dan Perdagangan Russia, Albert Anvarovich Karimov. – KOSMO! ONLINE