KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan kepada Dewan Rakyat bahawa Allah S.W.T tidak memberi imuniti kepada individu yang melemparkan fitnah.
Menurut beliau, walaupun individu yang memfitnahnya berhubung isu RON95 dalam Dewan Rakyat memiliki imuniti, tiada imuniti diberikan oleh Yang Maha Esa kepada yang berbuat demikian.
“Kalau dalam dewan (Dewan Rakyat) ada imuniti, (dengan) Allah S.W.T tiada imuniti,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Dewan Rakyat bahawa dirinya mempertahankan warga asing dalam isu penyasaran subsidi RON95.
Muhyiddin berkata, beliau bersetuju dengan pandangan dua Ahli Parlimen pembangkang bahawa Perdana Menteri tidak membuat ‘homework’ sebelum datang sidang Dewan Rakyat.
“Carilah dimana-mana dunia siber tidak akan ada kenyataan yang saya buat sebegitu. Bermakna apa yang disebut suatu fitnah.
“Saya tahu mana dia dapat maklumat itu. Sumber ‘fake’ dan palsu. PM ambil sumber ‘fake’ dan palsu bercakap dalam Parlimen amat memalukan.
“Minta maaf. Sahabat baik saya juga, tetapi politik bukan soal sahabat. Kenyataan yang tak betul mesti dibetulkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE