WASHINGTON – Sekurang-kurangnya dua orang cedera selepas pesawat ringan yang mereka naiki terhempas dan ‘melekat’ pada sebuah rumah dalam nahas di Washington, lapor portal berita MyNorthWest kelmarin.
Pesawat itu merempuh sebuah rumah di Tigner Road berhampiran Lapangan Terbang Cashmere-Dryden sekitar pukul 5.30 petang (waktu tempatan) pada Rabu lepas.
Pejabat Syerif County Chelan (CCSO) berkata, dua orang berada di dalam pesawat semasa kejadian.
“Dua individu terbabit dibawa ke hospital berdekatan, dengan seorang mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Harborview.
“Tahap kecederaan mereka masih belum diketahui,” kata CCSO.
Penghuni kediaman tidak cedera dalam nahas tersebut.
Dalam perkembangan sama, Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca nahas. – AGENSI