JAKARTA – Seorang wanita di Karawang, wilayah Jawa Barat menjadi perhatian pengguna media sosial kerana berkenalan dengan suaminya dengan cara menghantar resume, lapor portal berita Wolipop semalam.
Berdasarkan sebuah hantaran yang dimuat naik di platform TikTok, wanita bernama Intan Permatasari, 29, berkongsikan detik awal dia berkenalan dengan suaminya, Azis Hakim, 30.
Dalam satu tangkap layar perbualan komen di laman Instagram taaruf.co.id, wanita itu mula ‘melamar’ suaminya dengan cara menghantar resume melalui e-mail.
Taaruf merupakan laman mencari jodoh yang patuh syariah.
Dalam perbualan tersebut, Intan memberitahu Azis bahawa dia sudah menghantar e-mail yang mengandungi resume mengenai dirinya.
Azis kemudian membalas dengan berkongsikan latar belakang dirinya.
Intan berkata, mereka kemudian melanjutkan proses perkenalan dengan komunikasi yang lebih serius ke arah mendirikan rumah tangga.
Tambahnya, selepas menerima restu ibu bapa, kedua-dua mereka berkahwin pada 4 Disember 2022.
Hantaran itu menjadi tular dan menerima pelbagai komen daripada pengguna media sosial.
“Percintaan orang yang tulus hatinya,” kata seorang pengguna media sosial. – AGENSI