SINGAPURA – Seorang warga emas di Singapura mencetuskan kemarahan orang ramai apabila dirakam menabur beras di hadapan pintu rumahnya untuk memberi makan kepada burung, lapor portal berita Must Share News.
Kejadian dirakam di sebuah pangsapuri di kejiranan Ang Mo Kio.
Rakaman video di laman Facebook menunjukkan beberapa ekor burung sedang memakan beras yang dibiar bertaburan di sepanjang koridor.
Sejumlah besar najis burung turut terkumpul di hadapan rumah lelaki tersebut serta bahagian penghadang.
Menurut perakam, warga emas itu akan memberi makan kepada burung merpati sebanyak tiga hingga empat kali dalam sehari.
“Perbuatan itu menarik beratus-ratus burung merpati dan burung lain. Selain mengotorkan kawasan luar rumah, ia turut menjejaskan penduduk lain,” tulis perakam.
Seorang penghuni di blok sama dikenali sebagai Raman berkata: “Rumah penghuni lain turut kotor. Dia (warga emas) juga menghalang kakitangan untuk membersihkan kawasan itu sambil menegaskan bahawa ia adalah ruang awam.”
Raman telah membuat beberapa aduan kepada pihak berkuasa, namun masih tiada tindakan lanjut. – AGENSI