KUALA LUMPUR – Projek perumahan Residensi Hektar (Rumawip) yang terbengkalai sejak hampir tujuh tahun lalu dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2027.
Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, projek itu yang melibatkan 2,400 unit rumah merupakan antara projek perumahan mampu milik yang ditinggalkan kerajaan terdahulu tanpa penyelesaian.
“Projek ini bermula pada tahun 2018 dan sepatutnya siap pada 2022. Namun akibat kelemahan pentadbiran lalu, ia terbengkalai dan memberi kesan kepada lebih 10,000 pembeli.
“Hari ini, kerajaan Madani tampil dengan penyelesaian tuntas apabila kerja-kerja pemulihan dimulakan serta-merta selepas suntikan dana RM125 juta berjaya diperoleh,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat Tapak Projek Residensi Hektar Gombak, hari ini.
Beliau menambah, kerajaan tidak akan berkompromi lagi jika pemaju gagal menyiapkan projek seperti dijanjikan.
“Ini peluang terakhir. Jika mereka gagal serah kunci pada 2027, saya akan gunakan kuasa menteri untuk menyenarai hitam pemaju dan lembaga pengarahnya. Cukup-cukuplah,” tegasnya.
Kor Ming turut memaklumkan bahawa sejak Kerajaan Madani mengambil alih, lebih 1,127 projek terbengkalai berjaya diselamatkan melibatkan lebih 135,000 pembeli rumah dengan nilai pembangunan mencecah RM106 bilion.
Katanya, ini membuktikan komitmen kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat dan memulihkan kepercayaan masyarakat terhadap institusi kerajaan. – KOSMO! ONLINE.