PASUKAN Kelantan Red Warrior (KRW FC) mahu penyokong bersabar dan berdiri teguh dibelakang pasukan selepas terpalit masalah luaran sehingga melibatkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Sebagai rekod, KRW FC telah diberikan surat oleh FIFA pada minggu lalu yang diserahkan menerusi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan hukuman sekatan pendaftaran pemain sehingga 14 Ogos depan.
KRW FC memuat naik status ringkas di laman Facebook kelab hari ini dengan harapan peminat setia pasukan terus bersabar dengan cabaran sebelum mengharungi aksi Liga A1 Semi-pro musim 2025/2026.
“Kepada semua penyokong, harap bersabar. Ini adalah cabaran tetapi kita akan hadapi bersama-sama,” kata status tersebut.
Liga Bola Sepak Amatur (AFL) sedia maklum dengan hukuman yang dikenakan ke atas KRW FC dengan memberi kelonggaran untuk menangguhkan dua perlawanan awal pasukan kendalian Irfan Bakti Abu Salim bagi selesaikan isu berbangkit sebelum 14 Ogos depan.
KRW FC sepatutnya membuka tirai rasmi Liga A1 menentang pasukan feeder, Selangor 2 pada minggu ini sebelum berdepan Seoul Phoenix pada 10 Ogos. – KOSMO! ONLINE