JAKARTA – Pasukan bomba dan penyelamat terkejut apabila menerima panggilan kecemasan untuk menyelamatkan seekor burung hantu yang terjerat pada tali layang-layang, lapor portal berita Tribunnews semalam.
Kejadian berlaku di Cianjur, wilayah Jawa Barat, baru-baru ini.
Rakaman video kejadian di platform Instagram oleh akaun @damkarkabcianjur menunjukkan anggota bomba menjalankan usaha menyelamat, juga dengan menerbangkan sebuah layang-layang.
“Sayap burung itu tersangkut tali layang-layang pada ketinggian sekitar 10 meter.
“Usaha menyelamat sukar kerana tiada angin. Setelah beberapa minit, layang-layang kami berjaya diterbangkan dan menolak burung itu ke bawah,” kata Ketua Jabatan Bomba Cianjur, Reki Maulana.
“Burung itu jatuh ke tanah. Burung sama kemudian dirawat sebelum dilepaskan semula ke habitat liar,” tambahnya. – AGENSI