NEW DELHI – Tiga ekor gajah naik minyak bertindak menyerang beberapa kenderaan di kawasan Thuvvur dan Iringattiri Karuvarakundu dalam negeri Kerala, lapor akhbar The Indian Express semalam.
Tindakan gajah liar itu mencetuskan ketakutan dalam kalangan penduduk tempatan.
Rakaman video kejadian yang tular di media sosial memaparkan tiga ekor gajah itu berlari di atas jalan raya sebelum meluru ke arah beberapa kenderaan yang ditinggalkan pemandu.
Seekor gajah itu menyerang sebuah trak pikap sebelum mengangkat bahagian hadapannya.
Ketika penduduk tempatan dan pihak berkuasa bergegas ke tempat kejadian, haiwan itu telah lari ke dalam hutan.
Berkongsi video itu, seorang pengguna Instagram bernama Nisar Kurikkal berkata: “Ia adalah video yang mengejutkan apabila kawanan gajah menyerang kenderaan dan orang ramai di Karuvarakundu, Kerala.” – AGENSI