SHAH ALAM – Bekas pemain skuad kebangsaan Jepun, Keisuke Honda menganggap perlawanan persahabatan Asia Warriors menentang Selangor FC malam esok sebagai ‘hadiah’ buat peminat bola sepak yang masih mahu melihat legenda bola sepak serantau beraksi di atas padang.
Menurut Honda, ramai peminat merindui bekas-bekas pemain skuad kebangsaan negara-negara di rantau Asia walaupun sudah tidak berada di puncak prestasi.
“Ya, kami tidak sepantas dahulu. Tapi kami masih ada strategi dan pengalaman untuk tunjukkan permainan berkualiti,” katanya pada sidang media hari ini.
Menurut Honda, walaupun Asia Warriors hanya sempat menjalani beberapa sesi latihan, semangat berpasukan yang tinggi serta persefahaman dalam kalangan pemain menjadi kekuatan utama mereka.
“Tiada siapa anggap diri ‘superstar’. Semua fokus pada misi (untuk menang) dan saling menyokong. Itu kekuatan kami.
“Kami tahu tenaga kami tak sama. Jadi kami perlu bijak kawal ‘tempo’ dan cipta peluang berdasarkan pengalaman,” kata bekas pemain AC Milan itu.- KOSMO! ONLINE