HONG KONG – Kapten Liverpool, Virgil van Dijk memberi ‘kata dua’ kepada bintang baharu kelab itu, Hugo Ekitike supaya segera keluar daripada sensasi perpindahannya.
Bintang Belanda itu mengingatkan Ekitike agar memulakan kerja keras untuk membantu pasukan sekali gus mampu memenuhi kehendak pengurus pasukan, Arne Slot.
“Dia baru saja tiba menyertai pasukan dan saya mungkin akan mengenakan denda kepadanya kerana mengenakan persalinan yang salah (secara berseloroh).
“Adalah bagus untuk memilikinya dalam pasukan dan saya katakan kepadanya, kerja keras bermula sekarang. Dia perlu membuktikan mampu memainkan peranan penting buat pasukan,” kata Van Dijk.
Liverpool selaku juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL), cukup sibuk dalam urusan perpindahan pemain dan kini bercadang untuk membawa masuk beberapa lagi pemain berkualiti.
Antara pemain yang sudah menyarung jersi The Reds ialah Jeremie Frimpong, Milos Kerkez, Giorgi Mamardashvili dan Florian Wirtz, malah kini sedang berusaha untuk mendapatkan bintang Newcastle United, Alexander Isak.
Van Dijk juga menjelaskan semua pemain baharu layak menyarung jersi Liverpool, namun paling penting adalah seluruh pasukan perlu segera mendapatkan keserasian antara satu sama lain.
“Saya fikir mereka sememangnya berhak kerana ada kualiti untuk bermain dengan Liverpool. Paling penting adalah bagaimana pasukan mampu membina skuad dan menyesuaikan diri.
“Semua orang perlu bekerja keras dan paling utama kami kena kekal bersatu walau apa pun keadaan yang terpaksa kami hadapi,” katanya. – AGENSI