BESUT – Thailand dan Kemboja disaran menggunakan mekanisme General Border Committee (GBC) bagi mencari jalan penyelesaian isu pergolakan yang sedang membabitkan dua negara tersebut kini.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata, perundingan perlu dilakukan oleh jawatankuasa kawalan sempadan berkenaan bagi membantu meredakan pergolakan sedang berlaku.
“Biar GBC berunding dahulu, cari jalan penyelesaian dan buat kenyataan. Kedua-dua pemimpin (Thailand dan Kemboja) akan menyambut baik cadangan jawatankuasa berkenaan.
“Saya cadangkan supaya rundingan ini dibuat serentak kerana setiap negara mempunyai kekuatan masing-masing serta tidak mahu mengalah,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Besut di sini, hari ini.
Mohamad berkata, sebelum ini, beliau sudah berhubung dengan rakan sejawat dari kedua-dua negara tetangga dan menyarankan agar konflik berkenaan dapat segera diselesaikan menggunakan saluran dialog serta diplomatik.
Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, Malaysia sebagai Pengerusi Asean sentiasa menyarankan penyelesaian menggunakan saluran terbabit.
“Begitupun pendamaian hanya bertahan sekejap dan pertempuran kembali berlaku. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menghubungi rakan sejawat beliau di Kemboja serta Thailand baru-baru ini yang membawa kepada gencatan senjata,” katanya. – KOSMO! ONLINE