PETALING JAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa kekuatan negara tidak hanya terletak pada bangunan pencakar langit di kota raya, tetapi berpunca daripada akar yang kukuh di desa.
Menurut beliau, kepimpinan desa perlu diperkasa melalui nilai amanah, integriti, penggunaan teknologi serta keprihatinan terhadap masyarakat setempat.
“Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Falsafah ini harus menjadi pegangan para pemimpin desa dalam menjayakan agenda pembangunan yang lestari, inklusif dan berjiwa rakyat,” katanya di media sosial.
Terdahulu, Ahmad Zahid merasmikan Konvensyen Jawatankuasa Pasukan Perancang Pelaksana Program (4P) dan Belia Luar Bandar anjuran Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) malam tadi.
Ahmad Zahid turut memaklumkan bahawa kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM40.7 juta kepada KEDA tahun ini, termasuk RM10.62 juta khusus bagi pembangunan kepimpinan desa dan belia luar bandar.
Selain itu, seramai 326 penerima geran hak milik diraikan dalam majlis tersebut, sekaligus membolehkan mereka bergelar pemilik sah tanah dan kediaman selepas sekian lama hanya sebagai penyewa.
“Sejak 2015, sebanyak RM91.87 juta telah dibelanjakan di bawah KEDA bagi pemilikan tanah dan usaha ini akan diteruskan demi kesejahteraan masyarakat desa,” katanya.
Beliau turut menggesa agar pemimpin akar umbi menjadi jambatan yang menyambung iltizam kerajaan dengan harapan rakyat. – KOSMO! ONLINE