LIVERPOOL – Perbincangan awal antara Liverpool dan wakil Rodrygo telah pun dimulakan, namun perpindahan pemain sayap Brazil itu dari Real Madrid ke Anfield masih bergantung kepada satu syarat utama iaitu penjualan Luis Diaz.
Rodrygo, 24, dilaporkan semakin berminat untuk berhijrah ke Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas lapan tahun menolak tawaran pertama Liverpool ketika remaja dan England kekal sebagai destinasi pilihannya berbanding Paris Saint-Germain (PSG) atau Bayern Munich.
Kelab Merseyside itu sudah menghubungi pihak pengurusan Rodrygo bagi menilai kesesuaian perpindahan, namun belum mengadakan perbincangan rasmi dengan Real Madrid setakat ini.
Laporan lain turut mendedahkan, Real bersedia melepaskan Rodrygo yang kini menilai semua pilihan yang ada termasuk kemungkinan meninggalkan Santiago Bernabeu lebih awal daripada jangkaan.
Segalanya kini bergantung kepada masa depan Diaz selepas Liverpool menolak bidaan awal £58 juta (RM332.40 juta) daripada Bayern buat pemain antarabangsa Colombia tersebut.
Difahamkan, Bayern masih belum menyerah kalah dan sedia mengemukakan tawaran baharu dalam masa terdekat dianggarkan berjumlah £65 juta (RM372.52 juta).
Jika perpindahan Diaz menjadi kenyataan, Liverpool dijangka mengaktifkan rundingan lanjut dengan Real untuk membawa masuk Rodrygo dalam urus niaga yang boleh mencecah lebih £77 juta (RM441.29 juta).
Langkah itu bakal menjadikan Rodrygo sebagai rekrut mega ketiga selepas Florian Wirtz dan penyerang Perancis, Hugo Ekitike yang dikatakan hampir pasti menyertai The Reds bagi mengukuhkan barisan hadapan kendalian Arne Slot. – AGENSI