SERING kali kita mendengar kisah perceraian dalam rumah tangga berpunca daripada kecurangan pasangan.
Pun begitu, ada juga beberapa punca lain yang mendorong kepada perceraian. Ada antaranya yang kadangkala tidak pernah terfikir dek akal.
Berkongsi kepada K-Wanita, Amim (bukan nama sebenar) juga ada pengalaman bercerai dengan bekas isterinya sekitar 10 tahun lalu.
“Kami bercerai sebab isteri ‘kaki’ ikut rombongan. Boleh dikatakan setiap bulan dia akan ikut trip bersama rakan-rakan wanitanya,” katanya membuka bicara.
Menurut anak jati Dungun, Terengganu itu, sebelum bernikah, dia memang sudah tahu bahawa isterinya memang suka pergi bercuti.
Minat dan kesukaan isterinya itu dibawa sampailah mereka bernikah dan mempunyai tiga orang cahaya mata.
“Sebelum berkahwin, isteri saya mempunyai kerja tetap, tetapi selepas kahwin, saya minta dia berhenti kerja dan fokus pada rumah tangga.
“Isteri bersetuju, namun dia minta untuk berniaga kecil-kecilan secara online. Macam-macam produk juga isteri jual, dari makanan sampailah ke pakaian wanita dan kanak-kanak,” katanya.
Menurut pembantu pegawai tadbir dan operasi berusia lewat 40-an itu, dia tidak kisah jika isterinya itu ingin berniaga untuk mencari pendapatan sendiri.
Ujar Amim, sejak berhenti bekerja makan gaji, isterinya semakin kerap mengikuti rombongan bercuti bersama rakan-rakan.
“Selain bercuti di dalam negara, isteri dan kawan-kawan dalam ‘group’ WhatsApp juga selalu pergi rombongan ke luar negara.
“Biasanya, negara seperti Indonesia, Vietnam dan Thailand menjadi pilihan isteri serta kawan-kawannya untuk bercuti.
“Pada mulanya, saya membenarkan sahaja dia pergi bercuti. Lagipun anak-anak sudah besar dan boleh uruskan diri sendiri.
“Namun lama-kelamaan, semakin diberi muka, semakin menjadi-jadi pula isteri ikut rombongan. Pernah dalam satu bulan, hampir setiap minggu dia pergi rombongan.
“Kadangkala, sampai saya sendiri tidak tahu destinasi isteri pergi.
“Saya cuma dapat tahu daripada kemas kini yang dimuat naik ke dalam media sosial milik isteri sahaja,” tuturnya.
Tambahnya, dia masih boleh berkompromi andai isterinya mahu pergi rombongan sekali-sekala, cuma janganlah sampai mengabaikan rumah tangga.
Akui Amim, pada mulanya, isterinya masih pandai membahagikan masa. Namun setelah beberapa tahun, isterinya mula ‘gian’ bercuti sampai langsung tiada masa bersama keluarga.
“Ada satu bulan itu, hanya tiga atau empat kali saya nampak kelibat isteri di rumah.
“Selebihnya, memang tidak nampak kerana terlalu kerap pergi rombongan dengan kawan-kawan.
“Pada awal-awal dulu, ada juga dia (isteri) minta izin sebelum pergi rombongan.
“Namun lama-kelamaan, dia langsung tidak pernah minta izin dengan saya dan hanya WhatsApp atau mesej beritahu sudah sampai ke satu-satu destinasi,” katanya dalam nada kesal.
Cerita Amim lagi, situasi menjadi semakin tegang apabila isterinya mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri.
Ujarnya, isterinya mengharapkan dia dan anak-anaknya menguruskan sendiri kehidupan di rumah.
“Kerja rumah, masak dan hal sekolah anak-anak langsung dia tidak pernah ambil tahu seperti awal-awal pernikahan dahulu.
“Bila isteri balik dari rombongan, dia akan penat dan banyak buang masa untuk tidur. Kalau bab masak atau urus rumah memang dia tidak peduli langsung.
“Selepas tiga atau empat hari di rumah, dia akan ‘lesap’ lagi dengan membawa bagasinya untuk pergi bercuti ke destinasi seterusnya.
“Kalau anda berada di tempat saya, apa yang anda rasa? Apa yang anda akan lakukan supaya isteri kembali seperti normal?” Soal Amim.
Lebih dua tahun ‘diperlakukan’ sedemikian, Amim nekad menceraikan isterinya dengan talak satu kerana sudah tidak tahan hidup dengan wanita itu.
Sebelum itu, dia pernah beberapa kali berusaha menyelamatkan rumah tangga mereka dengan berbincang dengan isterinya, namun tetap tiada jalan penyelesaian.
Bagi Amim, tidak salah jika seseorang itu mahu bercuti atau ikut rombongan bersama rakan-rakan.
Namun, biarlah berpada-pada dan tahu membahagi masa serta menjalankan tanggungjawab sebagai isteri.
“Selama ini, saya memang hidup sendiri dengan anak-anak.
“Jadi, lebih baik saya hidup sendiri dengan anak-anak tanpa perlu rasa sakit hati,” ujarnya.
















