PETALING JAYA – Ismanira Abdul Manaf yang merupakan ibu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin menafikan dia pernah terserempak dengan jirannya di tangga Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai di sini pada waktu tengah hari pada tarikh kehilangan kanak-kanak autistik itu hilang dua tahun lalu.
Ismanira Abdul Manaf, 30, berkata, pada 5 Disember 2023, dia hanya sempat membuka pintu rumahnya sebelum meletakkan beg sekolah Zayn Rayyan dan dua beg barangan yang dibeli dari sebuah pasar raya selepas menyedari anaknya hilang.
Dakwa Ismanira, selepas itu dia membiarkan pintu dibuka dan menuruni anak tangga bagi meneruskan pencarian Zayn Rayyan, namun tidak bertemu dengan mana-mana individu termasuk saksi ke-16 yang didakwa terserempak dengannya yang dikenali sebagai Rashidah.
“Saya berjumpa dengan orang-orang untuk minta tolong semasa saya berhenti di hadapan Blok A di gerai yang berniaga di situ. Saya berhenti di setiap kedai yang berada di blok depan Apartmen Idaman, kami tinggalkan nombor telefon dan masuk mencari di setiap kedai di situ dan ada berjumpa dgn orang ramai.
“Mungkin ada (di blok tiada orang?) dalam keadaan begitu saya tidak berselisih dekat dengan orang dan blok ini pada waktu itu waktu bekerja tidak ramai orang kecuali di bahagian kedai dan gerai jadi situ saya berhenti tanya orang-orang situ,” katanya.
Pada masa sama, wanita itu turut menafikan dia menukar pakaian lain sambil membawa beg sekolah Zayn Rayyan menuruni anak tangga seperti didakwa Rashidah.
Perbicaraan bela diri di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Dr. Hakim Dr. Syahliza Warnoh bersambung lagi petang ini.
Sebelum ini, pada Februari lalu, saksi pendakwaan ke-16 iaitu Rashidah Rajali, 37, dalam keterangannya memberitahu dia ada berselisih dengan Ismanira sebanyak dua kali di Blok R.
Rashidah yang juga jiran dan tinggal di aras sama tingkat dua dengan keluarga Zayn Rayyan berkata, kali pertama dia berjumpa dengan Ismanira Abdul Manaf di tangga pada pukul 12.15 tengah hari, manakala kali kedua pukul 12.35 tengah hari.
“Saya ada tengok muka dia, tapi saya tidak bercakap dengan dia. Saya hanya nampak dia pakai beg silang sahaja,” katanya.
Saksi itu memberitahu, pakaian yang dipakai Ismanira ketika berselisih dengannya pada kali pertama berbeza dengan pakaian yang dipakai ketika mereka terserempak 20 minit kemudian. – KOSMO! ONLINE