Pada usia 19 tahun, Imran Azim Iskandar sudah pun mencipta nama di pentas dunia.
Bukan calang-calang, remaja berbakat besar ini telah mengharumkan nama negara apabila memenangi pingat emas, perak dan gangsa pada pertandingan World Championships of Performing Arts (WCOPA) 2023 yang berlangsung di California, Amerika Syarikat.
Lebih membanggakan, Imran turut dinobatkan sebagai ‘Champion of the World’ dalam kategori klasik.
Ia satu gelaran tertinggi yang hanya diberikan kepada mereka yang benar-benar menguasai seni persembahan dengan keunggulan dan jiwa.
Dia juga meraih pingat perak bagi kategori Kontemporari dan Karya Asli, manakala untuk kategori Jazz dan Terbuka pula, Imran membawa pulang pingat gangsa.
Pencapaian tersebut bukan sahaja membuktikan kehebatan teknik dan disiplin muzik remaja berkaca mata itu, malah menunjukkan bahawa anak muda Malaysia mampu bersaing di peringkat antarabangsa apabila diberi peluang dan sokongan sewajarnya.
Kini, Imran sekali lagi bakal mengharumkan nama Malaysia menerusi bakat muziknya dengan menampilkan sebuah lagu dalam The World Album.
The World Album merupakan sebuah projek global yang menghimpunkan artis muzik dari setiap negara di dunia, sama ada mereka dilahirkan atau dibesarkan di sana.
Membuka bicara bersama K-Remaja, anak kelahiran Sibu, Sarawak itu berkata, bermain biola sudah menjadi minatnya sejak kecil, malah dia juga datang daripada keluarga yang sememangnya berbakat dalam bidang tersebut.
“Idola saya dalam bidang muzik secara amnya adalah pak cik saya sendiri yang merupakan Pengarah Muzik di Yayasan Johor.
“Bapa saya pula, biarpun tanpa ijazah formal dalam bidang muzik, namun dia mempunyai studio rakaman pada suatu ketika dulu.
“Selain itu, ibu saya pula merupakan penyanyi yang pernah menerbitkan album sendiri secara suka-suka,” tuturnya.
Selepas menguasai pentas dunia dalam acara WCOPA, Imran kembali bersama projek besarnya iaitu menerusi The World Album yang bakal diterbitkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif KeepClear Records, Brandon Beckwith.
Album tersebut merupakan sebahagian daripada projek International Artists Project (IAP) iaitu sebuah inisiatif yang bertujuan menyerlahkan bakat-bakat dari seluruh dunia.
Imran menyifatkan album itu sebagai antara yang paling ‘diversed’ di dunia, meskipun hanya melibatkan satu lagu daripada seorang wakil dari setiap negara.
Ia bakal dilancarkan pada 1 Ogos depan.

“Lagu saya dalam album itu berjudul Fiesta Di Malaysia. Ia merupakan gabungan bunyi tradisional dan moden bagi menonjolkan kepelbagaian muzik yang wujud di Malaysia,” jelas Imran.
Menggambarkan lagunya sebagai gabungan ‘pop Borneo’, Imran berkongsi bahawa lagu tersebut menampilkan melodi daripada suku Bidayuh, Orang Ulu dan Lun Bawang.
Hal ini kerana dia berhasrat memberi perhatian kepada komuniti-komuniti minoriti yang kurang dikenali di Sarawak.
Tambah Imran, lagu itu turut menggabungkan elemen muzik zapin, rentak sumazau serta bunyi-bunyian yang diinspirasikan dari hutan hujan Sarawak.
Menyentuh soal masa depan dan peranan muzik dalam membentuk identiti bangsa, Imran ada pendapatnya tersendiri.
Katanya, kenyataan kontroversi oleh seorang pempengaruh yang mendakwa bidang muzik dan komunikasi massa tidak memerlukan pendidikan tinggi atau ijazah adalah tidak tepat.
Baginya, kenyataan sedemikian merupakan satu bentuk kata-kata yang cuba merendahkan sesuatu jurusan.
“Saya berpendapat, kalau tiada kami yang menggerakkan budaya Malaysia ini, bagaimana hendak dikembangkan.
“Bagaimana kita mahu tunjuk kepada orang luar budaya kita di Malaysia?
“Kalau tiada yang memainkan peranan, orang mungkin ingat Malaysia ini sama sahaja seperti negara lain yang tiada unsur budaya,” katanya.
Jelas Imran, pendidikan bukan hanya mendapatkan kelayakan di atas kertas, malah mendalami ilmu dan etika dalam sesuatu bidang.
“Ia memberi kredibiliti dan ruang kepada seseorang untuk berkembang ke pentas antarabangsa dengan lebih yakin dan bersedia,” ujarnya.
Mengimbau pengalaman pertama membuat persembahan di pentas WCOPA, Imran memberitahu, dia cukup gementar saat bertanding.
Ujarnya, hal ini kerana semua peserta lain mempunyai bakat besar dalam pelbagai seni persembahan seperti muzik dan lakonan.
Selain itu, Imran mengakui dia sama sekali tidak menyangka akan membawa pulang pingat buat negara.
“Apabila melihat peserta-peserta dari negara lain seperti Filipina dan negara-negara Eropah, saya tidak yakin akan menang. Pesaing lain semuanya berbakat dan sudah berada pada tahap profesional.
“Penyertaan saya adalah lebih kepada menimba pengalaman dan mencari rakan baharu memandangkan juri pertandingan adalah dari Hollywood dan syarikat-syarikat hiburan besar di Amerika Syarikat.
“Syukur, rezeki menjadi milik saya, apabila persembahan saya memikat hati para juri,” katanya.
Ujar Imran, Malaysia menghantar 10 orang wakil dalam pelbagai seni persembahan untuk WCOPA pada 2023.
Sebelum menutup bicara, Imran turut menasihati generasi muda yang mempunyai minat dalam muzik, khususnya biola supaya sentiasa melakukan terbaik.
“Jika kita ada minat yang mendalam terhadap sesuatu, kita akan always do it very well (melakukannya dengan baik).
“Secara peribadi, saya perlu minat sebelum membuat sesuatu kerana apabila paksa diri, saya jadi tidak ikhlas,” katanya.
Imran yang kini sedang menyambung pengajian dalam bidang muzik di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) juga berkata, dia memasang cita-cita menjadi seorang individu hebat dalam bidang muzik.
“Cita-cita ini sudah menjadi impian saya sejak kecil.
“Jadi, jika saya tidak menyambung pengajian dalam bidang muzik, ibaratnya saya mengkhianati diri sendiri,” katanya sebelum menutup bicara.














