PETALING JAYA – Kesihatan orang ramai mula terjejas ekoran jerebu sejak beberapa hari lalu dengan ramai mengadu mengalami simptom batuk, sakit tekak dan demam akibat terdedah kepada udara tercemar.
Tinjauan Kosmo! mendapati, orang ramai terutama warga emas dan golongan berisiko dilihat sudah mula mengambil inisiatif perlindungan sendiri dengan memakai pelitup muka.
Seorang ibu, Norizan Mohd. Nor, 33, berkata, dia mula mengehadkan aktiviti luar buat anak-anaknya selepas mereka menunjukkan simptom batuk dan demam sejak minggu lalu.
“Anak saya masing-masing berusia tiga dan lima tahun sangat sensitif. Sejak jerebu makin teruk, mereka mula demam, batuk dan sakit tekak. Jadi, saya pakaikan mereka pelitup muka apabila keluar dan kurangkan waktu bermain di luar,” katanya di sini semalam.
Bagi pemandu teksi, Shamsuddin Daud, 56, dia mengakui kesihatannya turut terjejas akibat cuaca jerebu apabila tekak menjadi kering dan batuk.
“Tetapi nak elak keluar rumah memang tak boleh sebab saya masih bekerja. Jadi, saya pakai pelitup muka. Ini inisiatif saya untuk menjaga kesihatan diri sendiri yang sudah berumur,” ujarnya.
Bagi Nur Safiya Haizul, 20, yang menghidap penyakit asma sejak kecil berkata, dia memakai pelitup muka dan mengehadkan pergerakan luar.
“Kalau udara tak bersih, asma saya mudah menyerang. Udara kotor ini kita tak nampak, tetapi sangat berisiko kepada orang yang ada masalah kesihatan seperti asma atau sakit jantung macam saya,” jelasnya.
Pekerja farmasi di Subang Jaya, Tan Mei Lin berkata, permintaan terhadap pelitup muka jenis tiga lapis dan N95 meningkat sejak beberapa hari lalu dengan kebanyakan pembeli adalah ibu bapa dan warga emas.
“Kebanyakan pelanggan kami ialah ibu bapa dan warga emas. Ramai yang beli untuk anak-anak sekolah juga. Mereka kata anak mula batuk atau kurang sihat akibat cuaca jerebu.
“Pelitup muka jenis N95 paling banyak dibeli sebab ia boleh tapis zarah halus PM2.5 yang banyak dalam udara ketika jerebu. Ramai pelanggan yang pilih jenis ini sebab lebih selamat dan berkesan,” katanya.
Sementara itu, Pakar Kesihatan Persekitaran, Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Haliza Abdul Rahman berkata, pendedahan berpanjangan kepada udara tercemar ketika jerebu bukan sahaja menyebabkan ketidakselesaan harian, malah boleh mencetuskan komplikasi kesihatan serius termasuk kanser paru-paru dan strok.
Menurutnya, antara simptom jangka pendek yang lazim berlaku adalah batuk berterusan, mata pedih, sakit tekak, sesak nafas dan keletihan melampau.
“Kajian di Malaysia menunjukkan bahawa setiap peningkatan 10 mikrogram setiap meter padu zarah halus atau PM2.5 dikaitkan dengan peningkatan hampir satu peratus kemasukan ke hospital akibat penyakit pernafasan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Katanya, jika dibiarkan dalam tempoh lama, individu berisiko menghidap penyakit kronik seperti Penyakit Paru-paru Obstruktif Kronik (COPD), strok dan
masalah jantung.
Tambah Heliza, golongan paling terdedah adalah kanak-kanak, warga emas, pesakit kronik dan wanita hamil kerana sistem imun atau fisiologi mereka lebih lemah dan mudah terjejas oleh pencemaran udara.
“Kanak-kanak amat terdedah kerana sistem pernafasan mereka masih belum matang dan kadar pernafasan mereka lebih tinggi berbanding orang dewasa.
“Warga emas pula lebih berisiko kerana keupayaan paru-paru mereka menurun dengan usia, dan ramai antara mereka menghidap penyakit kronik seperti hipertensi atau penyakit jantung.
“Penghidap penyakit kronik seperti asma, bronkitis, sangat terkesan kerana jerebu memburukkan keradangan saluran pernafasan serta boleh mencetuskan serangan akut dan wanita hamil juga tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi,” katanya.
Mengulas lanjut, Haliza turut menasihatkan orang ramai agar mengambil langkah pencegahan ketika bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100.
Antaranya ialah mengurangkan aktiviti luar rumah dan, jika perlu keluar, pastikan menggunakan pelitup muka N95 kerana ia mampu menapis zarah halus (PM2.5) dengan lebih berkesan berbanding topeng biasa.
















