SINGAPURA – Seorang pelanggan di Singapura mengalami ‘mimpi ngeri’ apabila menemui bangkai seekor cicak di dalam sup bayam yang dipesan, lapor portal berita Must Share News.
Penemuan berlaku sekitar pukul 1 tengah hari di medan selera Food Dynasty dekat bangunan Lazada One.
Seorang lelaki dikenali sebagai Zheng berkata, kejadian ‘kembang tekak’ itu menimpa anak perempuannya kelmarin.
“Sup bayam itu dibeli pada harga S$6.50 (RM22).
“Anak saya menemui objek pelik terapung di dalam supnya. Dia terkejut apabila objek tersebut adalah bangkai cicak yang masih sempurna,” kata Zheng.
Pekerja medan selera pada awalnya mendakwa bahawa bangkai itu adalah ikan bilis sebelum menyedari kesilapan mereka dan memulangkan wang pelanggan.
Seorang pekerja bernama Nguyen Thi Luan berkata, cicak itu dipercayai terjatuh dari siling dan terlepas daripada perhatian mereka.
“Kami tidak tahu bila cicak itu masuk ke dalam sup. Cicak biasanya tidak muncul di medan selera ini. Ini kali pertama saya melihatnya,” kata Thi Luan. – AGENSI