WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyaman akhbar The Wall Street Journal untuk sekurang-kurangnya AS$10 billion (RM42.4 bilion), lapor saluran berita NBC News semalam.
Trump menyaman The Wall Street Journal kurang 24 jam selepas akhbar tersebut menyiarkan artikel menyatakan bahawa beliau menulis surat ucapan hari jadi kepada ‘bapa ayam’ kelas atasan, Jeffrey Epstein pada 2003 bersama lukisan seorang wanita tidak berpakaian.
Tuntutan itu menamakan syarikat induk Wall Street Journal, News Corp.; penerbitnya, Dow Jones; dua wartawan akhbar itu; Pemilik News Corp. Rupert Murdoch dan ketua eksekutifnya, Robert Thomson sebagai defendan.
“Kami baru saja memfailkan saman terhadap semua orang yang terlibat dalam penerbitan artikel berita palsu, berniat jahat dan memfitnah oleh The Wall Street Journal,” kata Trump di media sosial miliknya, Truth Social.
Dalam saman setebal 18 muka surat difailkan di mahkamah daerah Selatan Florida, peguam Trump berkata, dua hari sebelum artikel itu diterbitkan, salah seorang daripada dua wartawan terbabit menghantar e-mel kepada Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt.
Wartawan berkenaan menghantar e-mel tentang surat hari jadi itu, mendorong peguam Trump memberi amaran kepada Wall Street Journal untuk tidak menulis artikel mengenainya kerana dianggap palsu dan memfitnah.
Tiada seorang pun daripada defendan memberi maklum balas kepada peguam Trump, demikian menurut tuntutan mahkamah.
“Surat itu palsu dan defendan mengetahuinya apabila mereka memilih untuk memfitnah Presiden Trump dengan sengaja,” kata saman itu.
Saman sama difailkan selepas Trump menafikan laporan The Wall Street Journal bahawa beliau telah menulis surat hari lahir kepada Epstein lebih dua dekad lalu.
Surat itu mengandungi lukisan tangan yang memaparkan seorang wanita tanpa seurat benang dan tandatangan nama pertama Trump, demikian menurut dokumen yang disemak oleh akhbar tersebut. – AGENSI