PETALING JAYA – Moratorium pinjaman dan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semasa pandemik Covid-19 idea bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, dua perkara itu yang menjadi syarat Barisan Nasional (BN) untuk menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika itu.
“Muhyiddin bangga pada moratorium pinjaman dan pengeluaran khas KWSP. Sedangkan itu idea Najib. Tetapi skim i-Citra yang dia laksana jadi i-Marah kepada rakyat,” sindirnya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Mohd. Puad mendakwa, Muhyiddin semasa perhimpunan baju hitam di Kedah mendakwa mempunyai solusi untuk menyelesaikan isu rakyat.
Dakwa beliau, Muhyiddin mendabik dada kononnya kerajaan 17 bulan pimpinannya berjaya termasuk mengharungi pandemik Covid-19.
“Hakikatnya dia Perdana Menteri ke-8 yang gagal. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) separa masak telah menggandakan jumlah kematian dari 2,800 kepada 5,768 dalam tempoh 38 hari “total lockdown” diumumkan.
“Indeks Pengendalian Covid-19 yang dikeluarkan Bloomberg meletakkan Malaysia di tempat ke-3 paling corot antara 53 negara ekonomi utama.
“Kemuncak gagalnya Muhyiddin adalah rakyat memacak #Bendera Putih di merata tempat. Mereka terputus bekalan makanan. Muhyiddin lupa ke?,” sindirnya lagi. – KOSMO! ONLINE