PETALING JAYA – Beberapa perkhidmatan Malayan Banking Berhad (Maybank) akan tergendala sementara waktu pada Sabtu ini, berikutan kerja penyelenggaraan sistem antara pukul 3 pagi sehingga 8 pagi.
Maybank dalam satu kenyataan berkata beberapa perkhidmatan yang dijangka terjejas termasuk perkhidmatan seperti DuitNow, JomPay, FPX dan transaksi melalui laman web Maybank2u, aplikasi MAE serta Maybank2u Biz tidak dapat diakses.
Sementara itu, semua mesin ATM Maybank akan turut dijadualkan tergendala bermula tengah malam hingga 8 pagi hari sama.
“Penyelenggaraan ini dilakukan semasa tempoh aktiviti rendah bagi mengurangkan gangguan kepada pelanggan. Jika ada urusan penting, kami mengesyorkan anda merancang lebih awal,” ujar Maybank dalam satu kenyataan.
Pelanggan yang memerlukan bantuan boleh menghubungi pusat khidmat pelanggan di talian 1-300-88-6688 atau +603-7844 3696. – KOSMO! ONLINE