PETALING JAYA – Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) baru-baru ini telah mengadakan sesi pra-pelancaran bagi bilik pameran Proton e.MAS baharu di Damansara, dengan pelbagai tawaran menarik untuk pelanggan awal.
Cawangan Proton e.MAS Damansara, terletak bersama-sama Pusat 3S Proton EON Damansara, bersebelahan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) mengembangkan jejak runcit EON untuk kenderaan elektrik (EV) nasional pertama Malaysia.
Ia merupakan penambahan kepada bilik pameran sulung Proton e.MAS di Kompleks Ibu Pejabat EON di Glenmarie, Shah Alam.
Selari dengan outlet perdana di Shah Alam, bilik pameran Proton e.MAS Damansara direka untuk menyampaikan pengalaman EV tersendiri, menawarkan perundingan yang disesuaikan, sokongan selepas jualan, dan pendekatan mobiliti yang berfokuskan kepada gaya hidup.
Ketua Pegawai Eksekutif EON, Akkbar Danial berkata, outlet itu bukan sekadar bilik pameran EON yang baharu.
“Dengan populariti EV yang semakin meningkat, lokasi baharu di Damansara adalah permulaan kepada satu lembaran baharu.
“Ia mendekatkan Proton e.MAS kepada pelanggan, menyediakan akses mudah, penghantaran cepat dan perjalanan pembelian yang diperibadikan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sempena pra-pelancaran EON menawarkan tawaran menarik kepada pelanggan awal, antaranya pelanggan yang menempah Proton e.MAS 7 di bilik pameran baharu itu sehingga 18 Julai akan menikmati tawaran eksklusif termasuk pembiayaan faedah rendah khas, bermula daripada 1.68 peratus setahun.