PEMBANGUNAN pelajar terutamanya di institusi pendidikan tinggi bukan sekadar merujuk kepada kecemerlangan akademik semata-mata tetapi juga melibatkan pembentukan sahsiah, kemahiran insaniah serta kesiapsiagaan mereka dalam menghadapi cabaran yang mendatang. Dalam konteks ini, pendekatan program berpusatkan belia (Youth-Centered Programming) amat bersesuaian untuk digunakan sebagai salah satu strategi berkesan dalam menyokong perkembangan holistik pelajar.
Pendekatan program berpusatkan belia ini menekankan penglibatan aktif pelajar dalam merangka, melaksana dan menilai program yang direka khusus untuk menyerlahkan potensi mereka.
Konsep ini bukan sahaja mengiktiraf suara dan peranan pelajar sebagai pemegang taruh utama dalam pembangunan kompetensi pelajar, malah juga memperkasa pelajar untuk menjadi pemimpin, penghubung sumber, pembantu proses dan ejen kepada perubahan dalam komuniti.
Universiti bukan sekadar institusi pendidikan tetapi juga ekosistem sosial yang membentuk karakter dan pemikiran pelajar. Pemerkasaan pembangunan pelajar turut menjadi perhatian utama melalui aspirasi ‘True North’ Universiti Putra Malaysia (UPM) yang meletakkan pengalaman pembelajaran dan kehidupan terbaik sepanjang pengajian di kampus.
Bagi memastikan keberkesanan usaha pembangunan pelajar secara mampan, Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) UPM telah menerajui pelaksanaan Indeks Holistik Pelajar (i-HOPE) UPM buat pertama kalinya pada tahun 2024 sebagai penanda aras untuk memperkasa pendekatan pembangunan pelajar yang sebelum ini golongan pelajar sering dilihat hanya sebagai penerima pasif kepada inisiatif yang digerakkan oleh pihak universiti atau agensi luar.
Akibatnya, program-program yang dijalankan kadangkala kurang relevan dengan keperluan sebenar pelajar atau tidak mencapai tahap keberkesanan yang diharapkan.Pendekatan program berpusatkan belia telah mengubah perspektif terhadap peranan pelajar dengan memperkasa pelajar untuk menjadi rakan strategik dalam membangun dan menggerakkan program yang bersifat lebih inklusif, relevan dan responsif kepada keperluan mereka.

Dapatan kajian oleh penulis dan pasukan penyelidik UPM baru-baru ini menunjukkan bahawa apabila pelajar diberi kepercayaan untuk menerajui sesuatu perkara dengan inisiatif sendiri bersama bimbingan orang dewasa atau individu yang lebih berpengalaman, mereka lebih bermotivasi, bertanggungjawab dan menunjukkan daya kepimpinan yang tinggi.
Pembangunan pelajar yang menggunakan pendekatan ini dapat mewujudkan komuniti pelajar yang lebih proaktif dalam aspek kesukarelawanan, inovasi teknologi serta advokasi isu-isu berkaitan kesejahteraan mental dan sosial. Inisiatif seperti kumpulan pemikir pelajar, program pementoran kepemimpinan serta latihan berterusan yang dirancang oleh pelajar sendiri telah membuktikan keberkesanannya dalam meningkatkan kemahiran mereka.
Antara ciri utama yang menjadikan program berpusatkan belia lebih berkesan dalam pembangunan pelajar adalah dengan menekankan penglibatan aktif pelajar, mereka bukan sekadar peserta tetapi juga pemimpin utama dalam setiap peringkat program, bermula dari perancangan hingga kepada pelaksanaan.
Selain itu, pendekatan ini memberikan pemerkasaan kepada pelajar dengan memberi mereka ruang untuk membuat keputusan, menyuarakan pandangan serta mengasah kemahiran kepimpinan dan penyelesaian masalah.
Di samping itu, program ini mengutamakan pembelajaran berasaskan pengalaman dengan menyediakan peluang kepada pelajar untuk terlibat secara langsung dalam projek komuniti, keusahawanan sosial dan program mobiliti global. Kerjasama dengan pihak berkepentingan turut menjadi elemen penting, pelajar berinteraksi dengan pensyarah, industri dan badan bukan kerajaan bagi memastikan program lebih berimpak dan berdaya tahan.
Oleh yang demikian, pendekatan ini menekankan penilaian dan refleksi berterusan bagi membolehkan pelajar menilai keberkesanan program serta mencadangkan penambahbaikan untuk masa akan datang.
Walaupun pendekatan ini memberi banyak manfaat, terdapat beberapa cabaran yang perlu diatasi. Antara cabaran utama adalah kurangnya kepercayaan sesetengah individua atau pihak terhadap kebolehan pelajar untuk mengurus dan menerajuinya dengan inisiatif sendiri. Selain itu, terdapat juga kekangan dari segi sumber, bimbingan dan infrastruktur yang diperlukan untuk menyokong usaha ini.
Untuk memastikan keberkesanan program berpusatkan belia, beberapa strategi boleh diambil. Pertama, universiti perlu menyediakan platform sokongan yang kondusif bagi pelajar untuk menjalankan program mereka. Selain itu, latihan dan bimbingan juga penting bagi memastikan pelajar mempunyai kemahiran yang mencukupi untuk menerajui program dengan berkesan. Walaupun mereka diberi kebebasan, mereka masih memerlukan latihan dalam aspek seperti pengurusan projek, penyelesaian konflik dan strategi komunikasi.
Program berpusatkan belia telah menunjukkan kesan positif dalam melahirkan pelajar yang lebih berdikari, inovatif dan berdaya saing. Pelajar yang terlibat dalam program sebegini bukan sahaja lebih bersedia menghadapi cabaran dunia sebenar, malah menjadi pemimpin masa depan yang mampu mencetuskan perubahan dalam masyarakat. Usaha ini memerlukan sinergi daripada pelbagai sektor termasuk sektor keusahawanan sosial, politik dan teknologi.
Ini membuktikan bahawa apabila pelajar diberikan peluang untuk membangunkan diri mereka melalui pengalaman sebenar, mereka akan lebih yakin dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran selepas bergraduat.
Pada masa hadapan, pendekatan program berpusatkan belia perlu terus diperluaskan dengan mengintegrasikan teknologi, memperkukuh kerjasama dengan sektor industri dan memastikan setiap pelajar mendapat akses kepada peluang pembangunan yang setara.
Kesimpulannya, Dengan mengiktiraf suara dan kepimpinan pelajar dalam membentuk pengalaman pembelajaran mereka, universiti dapat melahirkan lebih ramai graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga memiliki daya kepimpinan, kreativiti dan keupayaan untuk menyumbang kepada masyarakat secara lebih bermakna.














