BATU PAHAT – Polis menyiasat kesan lebam di lengan dan bahu seorang murid sekolah rendah di Batu Pahat selepas didakwa didera seorang guru.
Kanak-kanak itu dikatakan dikurung dalam tandas, namun tidak diketahui punca sehingga menyebabkan guru terbabit bertindak demikian.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, setakat ini kes masih di peringkat awal siasatan dan pihaknya belum dapat memastikan sama ada kejadian dera itu wujud.
Katanya, polis juga masih menyiasat kesan lebam pada badan murid tersebut sama ada berpunca akibat didera atau sebab-sebab lain.
“Kecederaan hanya lebam (bruises) di lengan dan bahu. Tiada kesan (kecederaan) lain, kurung dalam tandas belum pasti lagi masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Shahrulanuar, maklumat kejadian diterima daripada pihak Hospital Sultanah Nora Ismail, namun keluarga mangsa masih belum membuat laporan polis.
“Kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya terlebih dahulu sebelum meneruskan siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE