fbpx

Bukti kerajaan utamakan kebajikan penjawat awam – Cuepacs

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adnan

PETALING JAYA – Keputusan mengekalkan waktu kerja syif 42 jam seminggu untuk 82,637 petugas kesihatan di bawah lima skim perkhidmatan kritikal Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan kerajaan mengutamakan nilai ihsan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat serta penjawat awam.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Dr. Adnan Mat berkata, langkah itu membuktikan kerajaan mendengar dan memahami kebimbangan petugas kesihatan yang sentiasa bertugas di barisan hadapan tanpa mengira masa.

“Keputusan mengecualikan lima skim kritikal daripada waktu bekerja 45 jam seminggu adalah tindakan penuh hikmah dan selari dengan semangat Malaysia Madani yang mengutamakan nilai ihsan, kebajikan dan kesejahteraan penjawat awam.

“Kami percaya pengekalan waktu bekerja 42 jam ini penting untuk menjaga kesihatan petugas dan memastikan kualiti perkhidmatan awam kekal pada tahap terbaik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Adnan, beliau berterima kasih kepada kerajaan kerana terus memberi ruang kepada rundingan dan suara kesatuan dalam membuat keputusan dasar.

“Kami di Cuepacs akan terus komited memperjuangkan kebajikan penjawat awam selaras dengan aspirasi negara,” katanya.

Terdahulu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memaklumkan kerajaan bersetuju memberi pengecualian terhadap pelaksanaan waktu bekerja syif 45 jam seminggu kepada lima skim perkhidmatan kritikal di bawah KKM, dengan menetapkan waktu bekerja 42 jam seminggu.

Pengecualian itu melibatkan seramai 82,637 petugas barisan hadapan, merangkumi jururawat, jururawat masyarakat, pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan, penolong pegawai perubatan serta pembantu perawatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI