KUALA LUMPUR – ASEAN dan Switzerland mesti bersama memperjuangkan dialog dan keamanan dalam era bahasa bersifat peperangan kini mendominasi wacana global.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ASEAN dan Switzerland malah perlu bersuara secara kolektif untuk menyokong dialog dan keamanan.
“Ini sangat penting dalam dunia di mana bahasa bersifat peperangan telah mengambil ruang yang besar,” katanya semasa menyampaikan ucapan pembukaan Mesyuarat Tiga Pihak antara Malaysia, Switzerland dan Sekretariat Asean di ibu negara hari ini.
Mohamad berkata, mempromosikan penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa serta mencari penyelesaian konflik secara aman dan adil khususnya di Ukraine dan Gaza adalah penting.
Beliau turut menyentuh tentang Israel perlu dipertanggungjawabkan atas kekejaman berterusan dan pelanggaran berterusan terhadap pelbagai undang-undang antarabangsa di Gaza dan terhadap negara lain.
Ujar beliau, membiarkan ketidakperikemanusiaan dan kekebalan seperti itu tanpa hukuman menimbulkan persoalan besar tentang kredibiliti komuniti dan sistem antarabangsa.
Sementara itu, Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, mengalu-alukan komitmen teguh Switzerland terhadap ASEAN sejak menjadi Rakan Dialog Sektor sejak tahun 2016.
Menurut kenyataan itu, kedua-dua pihak mengakui perkembangan kerjasama yang berterusan dalam bidang seperti pembinaan keamanan, tindakan terhadap periuk api dan pemajuan hak asasi manusia.
Tambah kenyataan itu, kepakaran teknikal Switzerland juga diiktiraf khususnya dalam kewangan mampan, inovasi digital dan sokongan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS)
“Mesyuarat turut mengambil maklum tentang kerjasama yang sedang berjalan dalam pengurusan bencana.
“Terdapat minat bersama untuk meningkatkan kerjasama dalam sektor masa depan termasuk ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI), kewangan hijau dan pemerkasaan belia,” kata Kementerian Luar.
Selain itu, ASEAN mengulangi sokongannya terhadap usaha meningkatkan kerjasama praktikal dengan Switzerland di bawah Bidang Kerjasama Praktikal ASEAN-Switzerland (PCA)
Jelas Kementerian Luar, mesyuarat tiga pihak tersebut menekankan komitmen ASEAN untuk memperdalam perkongsian strategik melalui dialog yang praktikal, inklusif dan berwawasan
“Dengan memanfaatkan kekuatan unik setiap rakan kongsi, ASEAN berhasrat membina kerjasama serantau yang berdaya tahan, responsif terhadap keperluan masyarakatnya dan selaras dengan Wawasan Komuniti ASEAN 2045,” kata kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE