PETALING JAYA – Meraikan isteri, pelakon Kamal Adli menitipkan ucapan hari kelahiran ke-33 buat aktres Uqasha Senrose dengan menzahirkan kesyukuran dengan kehadiran insan istimewa itu dalam hidupnya.
Kamal atau nama lengkapnya, Ahmad Kamal Ahmad Adli, 39, mendoakan agar wanita yang menyambut hari lahir pada 6 Julai itu dilancarkan segala urusan kehidupan mahupun kerjaya.
“Selamat ulang tahun buat belahan jiwa, isteri saya semoga panjang umur, dipermudahkan laluan hidupmu.
“Abang doakan semoga dialihkan segala rintangan, biar laluanmu cantik dan indah sahaja okey.
“Abang doakan segala doa sayang diangkat Allah, dibukakan segala pintu rezeki yang tertutup, didatangkan rezeki hebat dan halal,” tulisnya dalam hantaran Instagram.
Pada perkongsian tersebut, pelakon filem Takluk: Lahad Datu itu turut berkongsi gambar pernikahan mereka yang berlangsung sekitar empat tahun lalu.
Kamal juga mendoakan agar Uqasha terus menjadi ibu terbaik buat puteri mereka, Hawra Uqaira yang kini berusia 15 bulan.
“Terus jadi ibu yang hebat untuk Hawra. Hawra pun tahu sayang ibu yang hebat. Insya-Allah yang indah-indah sahaja.
“Selamat menikmati sambutan hari lahir yang indah ya sayang. Saya sangat cintakan awak,” ujarnya.
Uqasha atau Nik Zaris Uqasha Nik Sen turut membalas ucapan suaminya dengan kata-kata manis.
“Terima kasih sayang. Terima kasih atas segala-galanya. Saya cintakan awak. Satu-satunya awak dan Hawra,” titipnya.
Sebelum ini rumah tangga mereka didakwa goyah namun pasangan terbabit membuktikan kasih sayang mereka terus kekal utuh.
Terdahulu, Kamal dan Uqasha diijabkabul pada 5 November 2021 di Janda Baik, Pahang namun hanya mendedahkan berita gembira itu sebulan kemudian. – KOSMO! ONLINE