MANCHESTER – Pemain bawah 20 tahun (B-20) Paraguay, Diego Leon menjadi pembelian kedua Manchester United pada jendela perpindahan kali ini dalam usaha memperkasakan pasukan menjelang saingan musim baharu.
Menerusi yuran perpindahan £3.3 juta (RM19.01 juta) yang sudah pun dipersetujui Januari lalu, Leon akhirnya melengkapkan perpindahan ke Old Trafford dari Cerro Porteno sebaik sahaja usianya genap 18 tahun.
Walaupun dianggap masih terlalu muda, namun Leon yang beraksi di posisi bek kiri melaungkan keyakinan untuk bersaing dengan pemain-pemain senior bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama.
“Saya sangat gembira kerana dapat melengkapkan perpindahan ke pasukan ini. Saya fikir ini adalah impian setiap pemain, iaitu untuk menyarung jersi Manchester United yang merupakan antara pasukan terbesar di dunia.
“Apabila bergelar pemain profesional, anda perlu menyesuaikan diri secepat mungkin. Ramai orang menganggap saya mungkin dipinjamkan ke pasukan lain, tetapi saya tidak ada mentaliti seperti itu,” katanya.
Difahamkan, Leon mungkin akan diletakkan dalam skuad B-21 United terlebih dahulu sebelum barisan kejurulatihan membuat penilaian sama ada dia sudah bersedia ataupun tidak untuk dinaikkan ke skuad utama.
Sekiranya layak berada dalam skuad senior, dia perlu berdepan persaingan hebat daripada pemain-pemain lain seperti Patrick Dorgu, Harry Amass serta pemain berpengalaman, Luke Shaw. – AGENSI