PETALING JAYA – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) melancarkan Vendor ESG Hub, sebuah platform digital komprehensif yang dibangunkan untuk menyokong dan memperkasa rakan niaga Prasarana dalam melaksanakan amalan kelestarian dan prinsip ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) ke dalam operasi perniagaan mereka.
Pelancaran ini adalah kesinambungan kepada memorandum persefahaman (MoU) antara Prasarana dengan UN Global Compact Network Malaysia dan Brunei (UNGCMYB) yang telah ditandatangani pada 16 Mei lalu.
Kerjasama ini bertujuan untuk memperkukuhkan vendor dalam rantaian bekalan Prasarana ke arah pematuhan standard ESG global.
Portal Vendor ESG Hub menawarkan pelbagai sumber praktikal, panduan, dan alat digital yang direka khusus untuk membantu vendor memahami, menilai, melaksanakan amalan ESG secara progresif dan berstruktur.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, platform ini dibahagikan kepada empat segmen utama iaitu menilai, inspirasi, belajar dan buat.
Menilai adalah alat penilaian digital untuk mengukur tahap kematangan ESG syarikat. Vendor boleh mengetahui kedudukan semasa dan menjejak kemajuan mereka secara berterusan.
Inspirasi pula adalah kompilasi kajian kes dan kisah kejayaan yang menjadi inspirasi kepada vendor dalam membentuk serta memperkukuh inisiatif kelestarian mereka.
Ia juga melibatkan segmen belajar iaitu sumber pendidikan dan bahan rujukan untuk memahami konsep asas ESG serta strategi yang boleh dilaksanakan secara berkesan dan juga buat iaitu panduan praktikal dan alat sokongan untuk membantu vendor mengambil tindakan dan mengintegrasi ESG ke dalam operasi serta tadbir urus perniagaan mereka.
“Hampir 5,000 vendor yang telah berdaftar dengan Prasarana kini berpeluang untuk mengakses program latihan yang disasarkan, membolehkan mereka meningkatkan keupayaan dan kesiapsiagaan dalam menghadapi keperluan perniagaan masa hadapan yang lebih mampan.
“Pelancaran Vendor ESG Hub ini memperkukuh lagi komitmen kami untuk bergerak seiring bersama rakan niaga ke arah pembangunan yang mampan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Mohd Azharuddin menerangkan, pelancaran ini juga mencerminkan peranan penting yang dimainkan oleh vendor Prasarana dalam menyokong matlamat ESG dan melalui platform tersebut, syarikat mahu memastikan para vendor bersedia menghadapi cabaran perniagaan masa hadapan. -KOSMO! ONLINE