KUALA LUMPUR – Gandingan poomsae negara, Jason Loo dan Nurul Humaira Abdul Karim memberi petanda positif menjelang Sukan SEA Thailand hujung tahun ini apabila menjuarai pasangan campuran bawah 30 tahun (B-30) Terbuka Austria 2025 berlangsung di Vienna pada 29 Jun lalu.
Lebih manis, mereka menewaskan pilihan dari Thailand, Chonlakorn Chayawatto-Kiewlailerd Thanapat pada aksi separuh akhir sebelum menundukkan rakan sepasukan sendiri, Seah Jing Ying-Randy Owen di final.
Kejayaan itu menyuntik keyakinan kem negara, apatah lagi Jason-Humaira sebelum ini pernah memenangi gangsa Kejohanan Dunia di Hong Kong, sekali gus menjadi sandaran utama untuk mempertahankan emas berpasukan campuran di Bangkok nanti.
Jurulatih kebangsaan, Yap Yiih Ting menyifatkan prestasi keseluruhan atlet dalam kejohanan pembuka musim itu sangat memberangsangkan meskipun masih banyak ruang perlu dipertingkat menjelang Sukan SEA.
“Terbuka Austria merupakan kejohanan pertama kami untuk tahun 2025. Kami berpuas hati dengan prestasi keseluruhan kerana kejohanan kali ini disertai atlet bertaraf tinggi dari luar negara.
“Bagaimanapun, kami masih memerlukan lebih banyak penyertaan dalam kejohanan antarabangsa untuk lebih bersedia menghadapi cabaran seperti Sukan SEA,” katanya.
Dalam saingan individu lelaki B-30, Jason meraih perak, manakala Randy membawa pulang gangsa, selain atlet baharu, Anuwath Sarat turut mencuri tumpuan dengan merangkul emas individu B-17.
Kem negara turut membawa pulang perak dan gangsa dalam acara freestyle remaja menerusi Fedealis Kom dan Harry Daniel sekali gus menandakan keseimbangan antara muka baharu serta senior dalam pasukan.
Yiih Ting turut berkata, pencapaian di Vienna lebih bermakna kerana kejohanan itu menarik penyertaan atlet bertaraf tinggi sekali gus menjadikan kemenangan kali ini lebih signifikan.
Sebagai rekod, Jason pernah bergandingan dengan kakak Humaira iaitu Nurul Hidayah meraih emas di Sukan SEA Kemboja 2023 selain muncul naib juara Kejohanan Dunia 2023. – KOSMO! ONLINE