KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan kes tembak seorang ahli perniagaan di hadapan sebuah kedai motosikal di Taman Meru Utama, Meru, Klang 20 Jun lalu tiada kaitan dengan insiden di Cheras, sebelum ini.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata siasatan ke atas kedua-dua kes itu mempunyai elemen yang berbeza.
“Ada juga tanya kes tembak di Meru, kes di Meru ini tiada kena mengena dengan kes di Cheras, elemennya berbeza.
“Bagi kes berlaku di Brickfields pula kita tengah mendapatkan maklumat sama ada kaitan atau tidak, saya tidak boleh nafikan sebab siasatan masih dijalankan dan kes di Meru itu masih baru lagi,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Seminar Intelektual Inspirasi Remaja Madani 2025 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen, di sini, hari ini.
Pada 20 Jun lalu, seorang lelaki maut ditembak dipercayai bahagian kepala di hadapan sebuah kedai motosikal di Taman Meru Utama, Meru, Klang.
Kes itu diketahui selepas polis menerima panggilan pukul 3.37 petang.
Dalam pada itu, mengulas mengenai kes tembak di Cheras, Mohamed Usuf berkata, siasatan masih dijalankan dengan menumpu kepada pengesanan suspek dan motif kejadian.
Bagaimanapun, katanya, kesemua suspek sukar untuk dikenal pasti kerana memakai pelitup muka dan topi sekali gus menyukarkan pengecaman fotofit.
“Walaupun kita cuba buat fotofit, tapi kita hanya dapat kesan 40 peratus sahaja sebab semua penjenayah memakai topeng muka,” katanya.
Pada 17 Jun lalu, dua lelaki berusia 40-an maut selepas terkena beberapa das tembakan oleh sekumpulan lelaki di hadapan sebuah pusat beli-belah Jalan Loke Yew.
Berdasarkan tarikh dan waktu pada rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) pusat beli-belah itu, kejadian tersebut dipercayai berlaku sekitar pukul 10.56 malam. – KOSMO! ONLINE