PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima aduan daripada salah sebuah parti politik berkaitan wujudnya amalan rasuah dan penyelewengan berhubung tender pembinaan MyKiosk oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Menurut Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus, susulan itu, pihaknya telah menjalankan siasatan awal berhubung aduan tersebut.
Katanya, pada masa yang sama, Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) juga telah memulakan proses penyiasatan secara serentak.
“Selain KPKT yang telah mengemukakan laporan penuh berhubung proses dan pemberian tender yang berkaitan, beberapa pihak yang terlibat turut memberi beberapa dokumen berkaitan projek ini.
“Dalam siasatan ini, SPRM akan memberi tumpuan kepada dua perkara iaitu pengesanan sekiranya wujud amalan rasuah dan penyelewengan dalam proses tender,” katanya hari ini.
Katanya, pada masa yang sama, SPRM akan meneliti keseluruhan proses tatakelola sekiranya wujud sebarang kepincangan dan pelanggaran peraturan, sistem dan prosedur yang ditetapkan.
Zainul mengesahkan tindakan penyiasatan dibuat berasaskan kesalahan di bawah Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE