KUALA KANGSAR – Dua lelaki maut apabila pacuan empat roda yang mereka naiki melanggar sebuah lori muatan baja di Kilometer (KM) 253 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan berkampiran Terowong Menora di sini pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada pukul 5.51 pagi.
“Nahas melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford yang merempuh belakang sebuah lori Hino lima tan membawa muatan baja.
“Setibanya jentera di tempat kejadian, terdapat dua orang mangsa lelaki berbangsa Cina iaitu pemandu berusia 25 tahun dan penumpang berusia 22 tahun telah tersepit,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, ketua operasi melaksanakan size-up dan seterusnya mengaplikasikan konsep SAVER dengan mengarahkan anggota melaksanakan kerja penyelamatan menggunakan peralatan telescopic bagi membuat renggangan dan hydraulic cutter untuk memotong bahagian kereta.
“Mangsa dibawa keluar dengan menggunakan stretcher dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan. Mayat mangsa diserahkan pada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE