LISBON – Pengunjung sebuah pantai di Portugal digemparkan dengan kemunculan awan gelap menyerupai tsunami ketika negara itu dilanda cuaca panas ekstrem, lapor akhbar Metro UK semalam.
Rakaman video dimuat naik di media sosial menunjukkan orang ramai sedang bersantai di atas pasir sambil menyaksikan fenomena cuaca itu.
Awan tsunami muncul apabila pemeluwapan daripada udara panas bergabung dengan air laut yang sejuk sekali gus menghasilkan kesan selimut awan yang bergerak pantas.
Pembentukan seperti itu sering berlaku di Australia.
Meskipun kelihatan seperti ombak besar, awan tsunami dilaporkan tidak berbahaya.
Kejadian itu berlaku ketika benua Eropah dilanda gelombang haba maut dengan sebahagian Sepanyol dan Portugal mencatatkan suhu sehingga 46 darjah Celsius. – AGENSI