LENGGONG – Perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NRREE) di negeri ini akan dipastikan tidak menjejaskan alam sekitar termasuk hutan simpan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, teknologi baharu perlombongan yang digunakan tidak lagi memerlukan penebangan pokok sebaliknya cukup menggunakan kaedah moden kimia untuk mengekstrak hasil bumi.
“Hutan simpan masih kekal. Tidak akan mengusik pokok, menebang pokok dan tidak menyebabkan tanah runtuh.
“Kita juga akan tegas. Kalau kaedah perlombongan itu merosakkan alam sekitar, kita tidak akan benarkan,” katanya semasa sidang akhbar selepas majlis pembentangan laporan kemajuan tahun ketiga Perak Sejahtera 2030 di sini hari ini.
Keluasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Perak adalah sejumlah 988,722.22 hektar iaitu 47 peratus daripada keluasan negeri setakat 31 Oktober 2024.
Saarani juga berkata keadah moden itu juga mampu mengelakkan Perak daripada mempunyai kawasan tinggal yang dahulunya merupakan lokasi perlombongan bijih timah. – KOSMO! ONLINE