KOTA BHARU – Seorang peniaga warga Pakistan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun kira-kira dua minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Iqbal, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tidak senonoh itu di sebuah kedai runcit di Jalan Kubang Kacang, Kampung Seribong Limbat di sini kira-kira pukul 11 malam pada 14 Jun lalu.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 15(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin selain menetapkan 30 Julai ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE