PETALING JAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan melakukan semakan menyeluruh selepas kawal selia ke atas kenderaan pengangkutan berkaitan pelancongan dikembalikan kepada kementerian itu.
Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, usaha memindahkan pihak berkuasa kawal selia kenderaan pengangkutan berkaitan pelancongan daripada Kementerian Pengangkutan kepada MOTAC sedang giat dilakukan.
“Selain keperluan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk memantau dengan teliti semua kapal yang menyediakan aktiviti maritim, pengurusan keselamatan bas persiaran juga merupakan bidang tumpuan utama kementerian ini.
“Sebaik sahaja bidang kuasa ini dikembalikan, kami akan menjalankan semakan menyeluruh terhadap rangka kerja pengawalseliaan semasa untuk mengurangkan dengan ketara kejadian kemalangan bas pelancongan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tragedi bot terbalik di Pulau Perhentian, Besut, Terengganu yang mengakibatkan tiga maut, manakala sembilan lagi cedera baru-baru ini.
King Sing berkata, salah satu langkah yang MOTAC rancang untuk melaksanakan ialah Sistem Pemantauan Pemandu bersama-sama ujian mandatori dadah air kencing.
Menurut beliau, sistem itu bagi memastikan pemandu bas yang diamanahkan dengan keselamatan penumpang berada dalam keadaan fizikal dan mental yang sihat sekali gus membantu menjaga keselamatan dan kesejahteraan semua pengembara.
Selain itu, katanya, bas persiaran mesti menjalani penyelenggaraan dan pemeriksaan berkala untuk mengelakkan kegagalan mekanikal yang boleh menyebabkan kemalangan.
“Semasa lawatan rasmi saya ke luar negara, ramai menteri luar dan wakil industri menekankan kepentingan meningkatkan standard keselamatan pelancongan Malaysia melalui pelbagai saluran.
“Mereka menyatakan harapan bahawa negara kita akan mengambil langkah proaktif untuk mengurangkan insiden yang disebabkan oleh kesilapan manusia dan meningkatkan keselamatan pengembara secara keseluruhan,” katanya.
Justeru, King Sing menggesa semua penggiat industri pelancongan menangani perkara itu dengan bersungguh-sungguh dan memberikan kerjasama penuh dalam memulihkan keyakinan antarabangsa terhadap keselamatan serta kualiti pelancongan Malaysia. – KOSMO! ONLINE