PHILADELPHIA – Palmeiras muncul pasukan pertama mengesahkan tiket ke suku akhir Piala Kelab Dunia 2025 susulan kemenangan tipis 1-0 ke atas seteru tradisi, Botafogo pada pusingan 16 terbaik awal pagi tadi.
Kedua-dua jaguh Brazil itu terpaksa berhempas pulas mencari gol sehingga perlawanan terpaksa diheret ke masa tambahan yang membolehkan penyerang Palmeiras, Paulinho meledak jaringan pada minit ke-100.
Palmeiras terpaksa membayar harga mahal terhadap kemenangan di Stadium Lincoln Financial Field itu apabila kehilangan khidmat Gustavo Gomez menentang Chelsea di suku akhir nanti selepas kapten itu dilayangkan kad merah pada minit ke-116.
Begitupun, Paulinho yang sering bergelut dengan kecederaan sejak menyertai Palmeiras daripada Atletico Mineiro awal tahun ini, yakin mereka mampu memberikan aksi terbaik dalam usaha mara ke separuh akhir.
“Jurulatih banyak membantu saya menyesuaikan diri dalam pasukan pada masa yang sukar ini kerana saya mengalami kecederaan serius dan hingga kini masih merasai kesakitan.
“Tiada masa untuk bersimpati dengan diri sendiri pada kejohanan ini. Anda perlu bertindak dan itulah yang saya lakukan. Saya amat gembira, tuah saya berjaya mendapatkan gol itu,” katanya.
Kejayaan menewaskan Botafogo sedikit sebanyak mengubati duka juara Copa Libertadores 2020 dan 2021 itu dalam perebutan kejuaraan domestik.
Palmeiras kemudian kehilangan jurulatih dan beberapa pemain utama, namun masih mampu mengejutkan juara Eropah, Paris Saint-Germain pada peringkat kumpulan sebelum mara ke pusingan 16 terbaik. – AGENSI