PETALING JAYA – Seorang wanita terpaksa hidup dalam ketakutan dan tidak tenteram kerana menanggung hutang pinjaman along sebanyak RM80,000 sejak Fabruari lalu hanya semata-mata untuk memenuhi permintaan ibunya.
Wanita berusia 29 tahun dikenali sebagai Liyana itu berkata, segala-galanya bermula apabila ibunya meminta dia membuat pinjaman untuk membeli barang kemas selain bagi tujuan membaiki rumah keluarga di kampung.
“Ibu kata kalau buat pinjaman, dia akan tolong lunaskan bayaran sedikit demi sedikit setiap bulan.
“Katanya mahu pakai duit tersebut untuk beli gelang dan cincin emas selain untuk baiki dapur rumah.
“Ketika itu ibu minta saya selesaikan dalam tempoh sebulan sahaja sebelum kenduri abang sulung pada Mac lepas. Ibu hari-hari minta, saya tak sampai hati, terus pergi buat pinjaman dengan along. Tapi sampai sekarang ibu tidak bantu bayar, saya pula yang kena tanggung,” katanya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.
Menurut Liyana, dia yang bekerja sebagai penyelia kilang dengan gaji bersih RM3,000 sebulan mula dihimpit rasa tertekan apabila tidak mampu menampung bayaran pinjaman tersebut.
Wanita itu juga mengakui terikat dengan beberapa bayaran bulanan lain termasuklah pinjaman kereta, bayaran balik pinjaman pendidikan serta kos bil ultiliti rumah keluarganya.
“Gaji hanya cukup-cukup makan. Bila tidak mampu bayar, bunga makin naik dan sekarang lepas empat bulan pinjaman along sudah cecah RM150,000.
“Saya juga hilang kerja bulan lepas apabila sindiket along sering ganggu di kilang sehingga majikan kurang selesa. Mereka (along) hari-hari hubungi saya, ugut saya,” luahnya.
Menurut wanita itu, baru minggu lepas dia menceritakan perkara tersebut kepada ibunya selepas menemui jalan buntu untuk menyelesaikan hutang ratusan ribu ringgit.
“Apa yang menyedihkan apabila saya pula yang dimarahi. Ibu siap tuduh dan salahkan saya sebab cari masalah dengan along. Dia langsung tidak fikir tindakan saya itu sebab mahu penuhi permintaannya.
“Saya ada minta ibu gadaikan semula barang kemas tersebut untuk bayar balik hutang along. Saya harap ibu setuju kerana sampai sekarang belum ada jawapan,” katanya.
Sementara itu, situasi sama dilalui pekerja swasta dikenali sebagai Nurul, 32, yang mengakui terbeban dengan hutang bank lebih RM100,000.
Katanya, dia pernah mengambil beberapa pinjaman bank atas nama sendiri bagi membeli sebuah kereta, melakukan ubah suai rumah keluarga dan menanggung kos majlis perkahwinan adik atas permintaan ibu dan bapanya.
“Kami bukan keluarga berada, tapi mak ayah mahukan gaya hidup mewah seperti orang lain. Mereka minta saya buat pinjaman beli kereta jenis MPV kononnya untuk keselesaan keluarga. Saya yang masa itu baru dapat kerja tetap, sanggup pinjam RM120,000 sebab tidak mahu kecewakan mereka,” luahnya.
Menurutnya, selepas beberapa tahun membayar ansuran secara konsisten, dia pula kehilangan kerja sewaktu pandemik dan tidak lagi mampu menampung bayaran bulanan.
“Waktu saya mula susah, tiada ada siapa yang tolong. Kereta dirampas, akaun bank dibekukan dan saya disenarai hitamkan. Tapi mak ayah tetap suruh saya cari duit untuk bantu mereka baiki rumah,” katanya.
Bagi Razak, 40, pula, dia mengakui kehidupannya kini seperti anak tanggang kerana tidak mampu memenuhi permintaan melampau ibu bapanya sehinggakan dia ‘dibuang’ serta dipulaukan keluarga.
Razak berkata, semua berlaku ketika dia berusia 28 tahun dan dipujuk membuat pinjaman bagi membeli kereta atas nama bapanya setelah dia diterima bekerja dalam sektor kerajaan.
“Rezeki saya dapat kerja cikgu, mak ayah saya paling seronok ingatkan seronok atas kejayaan saya, rupanya mereka seronok kerana berpeluang pergunakan saya untuk buat pinjaman.
“Baru kerja dengan gaji tak sampai RM3,000 lagi, Tapi mak dan ayah kata, kalau saya kenang jasa mereka bagi pendidikan sehingga jadi berjaya seperti sekarang, saya harus ada rasa tanggungjawab untuk balas jasa mereka,” katanya.
Menurut Razak, alasan diberi ibu bapanya untuk mendapatkan kereta adalah kerana mereka malu disebabkan jiran lain memiliki kenderaan baharu.
“Bukan kereta tidak ada, tetapi lebih kepada mereka dengki bila jiran ada kereta baharu, yang jadi mangsa adalah saya iaitu satu-satunya anak mereka.
“Bila saya bantah, mereka ugut untuk tidak mengaku saya anak. Tapi saya betul-betul tidak mampu ketika itu. Saya juga ada tanggungan kereta dan baru sahaja mendirikan rumah tangga dua bulan sebelumnya.
“Sehingga sekarang hubungan kami sangat dingin dan tidak seperti keluarga lain,” katanya.














