fbpx

Penerbangan terus Phnom Penh-Pulau Pinang dilancar hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pulau Pinang memiliki lokasi strategik sebagai hab perdagangan dan pelaburan yang telah menarik banyak pelabur global beroperasi di negeri ini. - Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Pulau Pinang melakar satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkukuh hubungan serantau apabila syarikat penerbangan Cambodia Airways melancarkan penerbangan terus dari Phnom Penh ke negeri ini, hari ini.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, pelancaran laluan baharu itu amat bertepatan dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan akan memperkukuh peranan strategik Pulau Pinang dalam rangkaian penerbangan serantau.

”Laluan ini bukan sahaja menambah satu lagi koridor udara yang menghubungkan Pulau Pinang dengan jiran ASEAN, malah turut menyerlahkan peranan negeri ini sebagai hab penting dalam hubungan serantau,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hon Wai berkata, penerbangan pertama dari Phnom Penh (KR785) berlepas pada pukul 8.05 pagi waktu tempatan dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pada pukul 10.55 pagi tadi.

Katanya, perkhidmatan itu dijadualkan dua kali seminggu, iaitu pada Khamis dan Ahad.

Tambahnya, Kemboja kini menjadi negara ASEAN keenam yang mempunyai penerbangan terus ke Pulau Pinang selepas Thailand, Indonesia, Singapura, Vietnam dan Myanmar, menandakan peningkatan ketara dalam aksesibiliti udara negeri ini.

Hon Wai berkata, satu pasukan khas dari Biro Konvensyen dan Pameran Pulau Pinang (PCEB) telah dihantar ke Phnom Penh bagi mengadakan perbincangan lanjut bersama Cambodia Airways mengenai promosi dan kerjasama jangka panjang.

”Laluan ini bukan sahaja penting untuk sektor pelancongan umum, malah memberi manfaat besar kepada pelancongan MICE (Mesyuarat, Insentif, Konvensyen dan Pameran) yang sedang berkembang pesat di Pulau Pinang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI