Pepatah moden berbunyi, ‘gaji masuk hari ini, esok tinggal bayang’ cukup menggambarkan realiti yang dihadapi ramai anak muda generasi Z hari ini.
Mereka bekerja keras, menerima gaji bulanan, namun wang tersebut habis dibelanjakan sebelum hujung bulan.
Fenomena ‘kerja dapat duit, habis duit’ bukan sekadar isu disiplin kewangan peribadi, tetapi mencerminkan tekanan ekonomi, budaya konsumerisme dan kekangan sistemik yang sedang mengikat generasi pekerja muda.
Terdahulu, menurut laporan Prudential Malaysia Assurance Bhd (PAMB), golongan muda di Malaysia dilihat bergelut dengan cabaran yang membataskan kemampuan mereka untuk menabung dan melabur demi masa depan.
Laporan bertajuk ‘Melakar Masa Depan Yang Gemilang – Mencari Jaminan Kewangan Masa Depan: Cabaran dihadapi golongan muda Malaysia’ oleh Economist Impact mendapati, keadaan itu berlaku berikutan kenaikan gaji yang rendah, peningkatan kos sara hidup, perubahan dalam landskap pekerjaan dan celik kewangan yang terhad.
Menerusi pemerhatian penulis, generasi Z secara realiti hari ini adalah seimbas gaya hidup ‘high maintenance’ apabila mereka sanggup membeli kopi RM15 secawan setiap pagi, keperluan gajet terkini, langganan hiburan digital dan keinginan kekal relevan di media sosial.
Presiden Pertubuhan Warisan Rakyat Prihatin, Jannahtul Ain Jaafar berkata, dianggarkan 98 peratus daripada 10,000 individu dalam kalangan generasi Z yang lahir dari tahun 1997 hingga 2012 didapati gagal menguruskan kewangan dengan baik.
Katanya, kebanyakan generasi Z bekerja tetapi tiada simpanan disebabkan mudah terpengaruh dengan gaya hidup mewah meskipun tahap gaji di bawah RM2,500 kategori miskin bandar.
Menurutnya, generasi Z juga sering dikaitkan dengan golongan berbelanja di luar kemampuan sehingga ada yang sanggup berhutang demi memenuhi kehendak mereka.
Namun, di sebalik stereotaip tersebut, tidak dinafikan wujud juga faktor tekanan hidup yang menjadikan perbelanjaan tinggi sebagai satu keperluan, bukan kemewahan golongan muda ini.
Antara faktor utama adalah ketidakseimbangan antara pendapatan dan kos sara hidup yang tinggi adalah ekoran gaji permulaan kebanyakannya sekitar RM1,800 hingga RM2,300 sebulan, sekali gus memperlihatkan ramai sudah ‘kering’ selepas membayar sewa rumah, pinjaman pendidikan dan keperluan asas.
“Gaji minimum sekarang dinaikkan kepada RM1,700, kalau duduk di Lembah Klang nak berbelanja dengan jumlah itu untuk membayar segala keperluan memang tak akan cukup.
“Kalau generasi Z ini tak pandai kawal kewangan mereka dari sekarang, mereka akan lebih terkejut dengan kehidupan akan datang,” katanya kepada Kosmo!.
Bagaimanapun, penulis juga berpandangan untuk menyalahkan sepenuhnya generasi Z atas corak berbelanja mereka adalah tidak adil kerana peningkatan kos sara hidup jauh mendahului peningkatan gaji diperoleh mereka.
Tambahan pula, kebanyakan generasi Z kini memasuki pasaran kerja dengan beban hutang pendidikan, tekanan menyara keluarga dan faktor-faktor lain yang meletakkan mereka dalam situasi kewangan genting.














