fbpx
ANGGOTA bomba membersihkan sisa pokok yang tumbang akibat kejadian ribut, malam tadi.

Yan antara terjejas teruk dibadai ribut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Sebanyak 10 daerah di negeri ini terjejas akibat kejadian ribut dan angin kencang pada malam tadi yang menyebabkan pokok tumbang serta kerosakan pada rumah penduduk dan infrastruktur awam.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd. Suhaimi Mohd. Zain berkata, dalam kejadian pukul 8.30 malam itu, daerah terlibat dalam insiden tersebut ialah Sik, Padang Terap, Pendang, Kota Setar, Yan, Kubang Pasu, Langkawi, Baling, Kuala Muda dan Pokok Sena.

“Kejadian angin kencang itu menyebabkan banyak pokok tumbang sehingga menghalang jalan raya dan menghempap kediaman penduduk di daerah berkenaan. Jumlah keseluruhan rumah penduduk yang terlibat masih dalam proses dikenal pasti,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, Yan antara kawasan terjejas teruk apabila 22 rumah mengalami kerosakan termasuk di mukim Sala Besar, Sungai Daun dan Singkir.

“Sebanyak 13 rumah terjejas di Sala Besar, sembilan (Sungai Daun) dan sebuah (Singkir). Petugas Pusat Kawalan Operasi Daerah membuat pemantauan di kawasan terjejas,” katanya.

Tambahnya, susulan kejadian itu, pihak APM menjalankan pemantauan rapi di lokasi-lokasi terjejas selain melaksanakan kerja-kerja pembersihan di jalan-jalan utama dan kawasan kediaman.

Sementara itu menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba 1, Azhar Mohamad, sebanyak 11 kejadian pokok tumbang dilaporkan di seluruh negeri susulan kejadian tersebut. –  KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI