KUALA SELANGOR – “Bila saya lihat orang makan nasi, saya rasa bangga. Usaha saya sampai ke pinggan mereka.”
Itu luahan pesawah muda, Mohd. Izuan Zainal Abidin, 38, dari Tanjong Karang yang tidak pernah jemu berbakti kepada tanah sejak lebih sedekad lalu demi kelangsungan keterjaminan makanan negara.
Mengusahakan tujuh hektar sawah di Blok Q, Sawah Sempadan, Izuan berkata, Aidiladha
baru-baru ini lebih bermakna apabila dapat menyambutnya dengan tenang bersama keluarga selepas menamatkan musim menuai yang mencatat hasil memberangsangkan.
“Alhamdulillah, saya sempat ziarah keluarga dan sertai ibadah korban di kampung. Musim tuaian kali ini lebih baik, hasil juga meningkat.
Syukur atas rezeki yang Allah beri, dan berkat bantuan daripada kerajaan serta BERNAS yang sentiasa membantu kami pesawah,” katanya.
Bapa kepada tiga anak itu mula meraih pengalaman dalam sektor makanan ruji utama tersebut
selepas mengikuti dan membantu arwah bapanya melakukan
kerja-kerja penanaman padi sejak di alam sekolah menengah.

Anak sulung lima beradik itu merupakan antara peserta Projek SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) IADA Barat Laut Selangor di bawah seliaan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS), yang jelas memberi impak positif terhadap produktiviti sawahnya, dengan keuntungan bersih lebih 60 peratus berbanding penanaman padi biasa meskipun cara penanaman dan penjagaannya hampir sama.
“Daripada sebidang tanah, kini saya mengusahakan tujuh bidang tapak sawah yang berkeluasan lebih tujuh hektar,” ujarnya.
Jelas Mohd. Izuan, beliau perlu bekerja keras untuk memastikan hasil tuaian sawahnya mampu mencapai antara enam atau tujuh tan bagi setiap tapak untuk beroleh keuntungan.
Hasil Lebih Baik, Untung Berganda
Mohd. Izuan mengakui sokongan teknikal, penyediaan benih berkualiti, bantuan subsidi serta penggunaan mesin dan teknologi dron melalui inisiatif BERNAS membantunya meningkatkan hasil sawah, meskipun berdepan cabaran cuaca tidak menentu dan ancaman perosak.
“Dulu untung saya sekitar RM3,000 sahaja. Sekarang hasil boleh capai sehingga RM5,000.
Pendapatan ini bantu sara keluarga dan simpan untuk musim depan. Saya amat berterima kasih kepada BERNAS yang banyak beri tunjuk ajar dan sokongan,” jelasnya.
Awal tahun ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan khas tambahan BERNAS yang keseluruhannya berjumlah RM90 juta untuk pesawah seluruh negara. Ia satu langkah yang disambut baik oleh golongan petani kecil seperti Izuan. Izuan juga menerima sokongan dalam bentuk peralatan, racun dan teknologi.
Lebih membanggakan, Mohd. Izuan juga aktif menyertai bengkel pembangunan varieti padi tahan cuaca ekstrem bersama MARDI dan menjadikan penglibatan tersebut sebagai sumbangan kecilnya demi masa depan keterjaminan makanan negara.

“Kerja pesawah ini bukan glamor. Tapi bila nasi sampai ke meja rakyat Malaysia, itulah kepuasan kami. Saya harap lebih ramai anak muda berani turun ke sawah sebab ini soal bekalan makanan negara,” katanya.
BERNAS: Rakan Strategik Pesawah
Sejak sekian lama, BERNAS berperanan penting sebagai pemegang amanah kerajaan dalam memastikan ekosistem industri padi negara kekal stabil – daripada input pertanian, logistik, pemasaran hinggalah sokongan harga minimum belian padi.
Kisah Mohd. Izuan membuktikan peranan BERNAS bukan sekadar pemain industri, tetapi rakan strategik yang bersama pesawah di lapangan, termasuk ketika musim sukar.
“Seperti petani kecil lain, margin keuntungan sangat tipis. Walaupun guna dron dan pekerja upahan, pendapatan tetap bergantung kepada kualiti hasil,” kata Mohd. Izuan. Matlamat jangka panjangnya adalah menambah keluasan tanah serta memiliki jentera sendiri yang dapat menjimatkan kos.
“Bagi musim tanaman baharu bermula Julai ini, saya akan menggunakan benih padi wangi yang dibekalkan BERNAS di semua tapak tanaman dan Insya-Allah, hasilnya nanti lebih baik,” katanya. -KOSMO! ONLINE