PETALING JAYA – “Kepada kakak-kakak atau mak cik-mak cik yang dari Bukit Beruntung tu, terima kasih. Mungkin mereka risau saya akan marah, sebenarnya tidak.”
Itu antara perkongsian seorang lelaki apabila menerima ‘wang misteri’ yang ditampal bersama nota daripada ahli rombongan bas dari Bukit Beruntung di kedai gunting rambut miliknya di Lumut.
Lelaki berkenaan berkata, semua ahli rombongan itu terdiri daripada wanita yang berumur lebih 50-an.
“(Mereka) tumpang ramai-ramai makan di depan kedai gunting rambut saya. Memang tong sampah tu saya punya, tapi saya memang letak untuk orang senang buang sampah.
“Tak sangka dia selitkan duit. Saya lagi kasihan kepada para musafir. Saya memang letak tong sampah untuk kegunaan bersama,” katanya di media sosial.
Perkongsiannya itu meraih pujian orang ramai yang kagum dengan adab dimiliki kedua-dua pihak.
“Adab ni tak boleh dijual beli. Kalau memang dah terbiasa menjaga adab dan berbudi bahasa, insya-Allah ke mana-mana pun akan dibawa,” komen seorang pengguna.
“Dua-dua beruntung, yang menyedia dan yang beradab. Moga berbukit keuntungan pahala,” ujar @hazrey.ab.
“Adab yang baik dan tuan punya yang baik. Ni orang yang faham agama,” puji @ayuuu11. – KOSMO! ONLINE