PETALING JAYA – Konflik peperangan yang berterusan antara Israel dan Iran ketika ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelajar Malaysia di negara jiran seperti Jordan.
Wakil pelajar Malaysia yang enggan dikenali berkata, situasi tegang itu sedikit sebanyak memberi tekanan kepada pelajar lebih-lebih lagi ia berlaku ketika musim minggu ulang kaji menjelang peperiksaan akhir.
“Serangan berlaku dalam waktu genting ketika minggu ulang kaji. Kebanyakan pelajar sedang ulang kaji di rumah masing-masing, namun ada yang terganggu disebabkan situasi semasa,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Pelajar itu turut menyatakan kebimbangan mengenai jadual pengajian dan kepulangan penuntut ke tanah air sekiranya peperangan berlarutan.
“Saya yang dijadualkan pulang ke Malaysia dalam masa terdekat. Andai perang ini berlarutan, kami (terpaksa) menunda perjalanan pulang ke kampung halaman,” katanya.
Bercerita mengenai langkah keselamatan, dia berkata, pihak Education Malaysia Jordan (EMJ) sentiasa memantau situasi dan menyalurkan maklumat terkini kepada pelajar.
“Pihak EMJ sentiasa memberi maklumat terkini dan menasihati kami supaya sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan, termasuk jika perlu dihantar pulang ke Malaysia,” katanya.
Pelajar itu turut berharap agar konflik tersebut segera tamat demi keselamatan semua pihak yang tidak bersalah.
“Saya berharap peperangan ini berakhir segera dan tidak menjejaskan kehidupan orang awam.
“Pemimpin negara-negara yang terlibat juga diharap dapat membuat keputusan berdasarkan kemanusiaan, bukan kepentingan politik,” katanya.














