KUALA LUMPUR – “Saya berhenti kerja sebagai akauntan untuk menari di kelab malam.”
Demikian pengakuan seorang penari tiang ala Bollywood warga tempatan yang mahu dikenali sebagai Atiha yang diperiksa dalam Ops Noda di sebuah premis hiburan di ibu negara awal pagi semalam.
Menurut wanita berusia 34 tahun itu, dia meninggalkan kerjaya profesional tersebut kerana bayaran yang diterima sebagai penari sepenuh masa dianggap lebih lumayan.
“Saya biasa menari untuk event (acara), tetapi kadangkala saya akan mencari duit lebih dengan menari di kelab.
“Untuk kelab ini, satu malam saya mendapat sekitar RM200. Itu hanya gaji, tidak termasuk komisen atau tip yang diberikan oleh pelanggan,” katanya ketika ditemui Kosmo!.
Atiha merupakan satu-satunya penari rakyat tempatan yang ditahan untuk pemeriksaan dalam Op Noda.
Operasi tersebut dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur bermula pada pukul 2 pagi.
Pemeriksaan polis mendapati dua daripada enam premis yang diserbu menggaji pekerja asing sebagai penari dan pelayan tanpa permit kerja yang sah.
Malah, premis tersebut juga dipercayai terlibat dalam aktiviti tidak bermoral.
Hasil pemeriksaan, polis menahan lapan warga asing berusia dalam lingkungan 20 hingga 40-an yang merupakan pelanggan, pengurus dan pekerja.
Kesemua tangkapan itu diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk tindakan selanjutnya di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen.














